GAMBAR kenangan Faizul bersama arwah isterinya, Nor Izzati. (Gambar kanan) Pokok bentuk hati ditanam di pusara sebagai simbolik cinta Faizul terhadap Nor Izzati dan anak mereka.
GAMBAR kenangan Faizul bersama arwah isterinya, Nor Izzati. (Gambar kanan) Pokok bentuk hati ditanam di pusara sebagai simbolik cinta Faizul terhadap Nor Izzati dan anak mereka.
Redzuan Muharam


“BUKAN niat saya meraih simpati daripada sesiapa kerana sekadar meninggalkan komen berkenaan untuk berkongsi pengalaman dilalui,” kata Faizul Susanto.

Faizul, 32, memberi reaksi mengenai perkongsian pengalamannya membersih dan menanam uri anak (pertama dan kedua) serta mengebumikan jenazah arwah isteri, Nor Izzati Danialafandi yang meninggal dunia sewaktu melahirkan zuriat ketiga mereka, Muhammad Danial Syaqiff.

Coretan ditulis di ruangan komen Facebook itu tular di laman sosial hingga rata-rata warganet meluahkan rasa sebak dan berharap Faizul tabah melalui hari mendatang.

Bercerita lanjut , Faizul berkata, Nor Izzati meninggal dunia akibat serangan penyakit darah tinggi pada 17 Mei tahun lalu dan sejak itu, dia tinggal sendirian di Kajang Prima, Selangor manakala dua anaknya dijaga adik ipar, Nor Izzani di Felda Triang 1, Bera, Pahang.

Katanya, bukan mudah untuknya menerima hakikat itu, malah mengambil masa hampir enam bulan sebelum dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Arwah isteri mengalami penyakit darah tinggi sejak mengandung anak pertama serta kedua lagi dan pernah mengalami keguguran sewaktu kandungan zuriat ketiga kami berusia tiga bulan.

“Menurut doktor, dia (arwah isteri) perlu berehat, tetapi sudah rezeki kami apabila arwah isteri disahkan mengandung tidak lama selepas itu.

“Keadaan penyakitnya bertambah serius selepas mengandung dan dia ada menunjukkan beberapa tanda sebelum meninggal dunia antaranya meminta saya mengebumikannya dan anak kami dalam satu liang lahad di kampung halamannya selain tidak teruja membeli keperluan bayi seperti kebiasaannya.

“Namun saya tidak mengambil serius kerana menganggap dia hanya berseloroh. Rupanya, itu tanda dia pergi meninggalkan saya dan anak-anak buat selamanya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Faizul, sejak pemergian Nor Izzati, dia tidak pernah ketinggalan untuk menziarahi pusara isterinya itu, malah sanggup berulang-alik setiap minggu dari Kajang ke Bera walaupun dalam keadaan demam.

Katanya, dia turut menanam pokok dengan bentuk hati sebagai tanda cinta dan kasih sayangnya terhadap Nor Izzati.

“Pokok itu ditanam pada Mac lalu dan saya yang memotongnya dengan bentuk hati sebagai simbolik rasa cinta kepadanya.

“Sebelum menanam pokok berkenaan, saya sudah mendapatkan mereka yang arif dalam soal agama iaitu ustaz dan mufti.

“Mereka berpendapat tidak salah berbuat demikian selagi saya tidak berlebihan hingga menyalahi syarak.

“Malah, sejak awal pemergian isteri lagi, saya gemar membawa anak ke kubur bersama bagi melepaskan rasa rindu walaupun hanya dengan membaca Yasin dan melihat pusara ibu mereka,” katanya.

Faizul berkata, dia masih bersemangat meneruskan hidup kerana memikirkan tanggungjawab terhadap dua anak iaitu Muhammad Danial Syaufiq, 5, dan Nur Dhia Syafiqah, 3 tahun.

Di samping itu, doa individu sekeliling turut memberi kekuatan kepadanya dan berterima kasih kepada warganet yang memberi semangat untuknya selepas kisahnya tular di laman sosial.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih untuk mereka yang sentiasa menyokong dan tidak sangka coretan itu memberi kesan kepada orang lain.

“Mesej cuba saya sampaikan adalah untuk mengambil pengajaran daripada kisah saya secara positif dan sentiasa menyayangi dan menghargai pasangan masing-masing.

“Ini kerana ketika arwah isteri masih ada, saya sentiasa ingat akan ada hari esok bersamanya tanpa menyedari kematian boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya yang kini bekerja sebagai pemandu peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 12:18 AM