SHARUL Saifuddin  mengesat air mata  Nur Ariana Qalesya yang menangis ketika menziarahi pusara ibunya.
SHARUL Saifuddin mengesat air mata Nur Ariana Qalesya yang menangis ketika menziarahi pusara ibunya.
Oleh Redzuan Muharam


Batu Pahat: "Sehingga ke hari ini saya masih sedih namun perlu kuatkan diri untuk jaga dan besarkan peninggalan arwah iaitu anak-anak kami," kata Sharul Saifuddin Azman.

Sharul, 31, berdepan episod duka dalam hidupnya apabila isteri tercinta, Nurul Nadhirah Azman meninggal dunia selepas melahirkan cahaya mata ketiga mereka iaitu bayi perempuan diberi nama Nur Ariqa Qarissa pada 14 Februari lalu.

Lebih menyedihkan, Sharul dan Nurul Nadhirah tidak sabar menanti kelahiran bayi mereka itu kerana sudah empat tahun tidak menimang cahaya mata.

Sharul berkata, Nurul Nadhirah menghembuskan nafas terakhir di sisinya dan tidak dapat diselamatkan akibat serangan kardiorespiratori kerana embolisma air ketuban.

Bercerita lanjut, Sharul mengakui seakan tidak percaya isterinya sudah meninggal dunia kerana tidak menunjukkan tanda ketara melainkan lebih banyak diam berbanding sebelum ini.

Katanya, dia dan isteri juga sempat membawa dua anak mereka berjalan di pantai Desaru, Kota Tinggi beberapa hari sebelum meninggal dunia.

"Arwah tak ada penyakit serius cuma ada mengadu sakit sendi dan saya sempat picit badannya.

"Sampai waktunya, isteri dimasukkan ke bilik bedah dan selepas melahirkan, dia tiba-tiba tak sedarkan diri, jantungnya terhenti, menurut doktor uri melekat pada rahim kemudian berlaku tumpah darah.

"Sementara tunggu isteri dirawat, saya tunggu di luar sebelum dipanggil doktor yang memaklumkan isteri dalam keadaan nazak.

"Saya berpeluang berada di sisinya dan ajar isteri mengucap, malah nampak air matanya mengalir sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sharul berkata, jenazah isterinya dikebumikan jam 11.30 malam hari yang sama di Tanah Perkuburan Islam Batu Puteh di sini.

Katanya, urusan pengebumian berjalan lancar, malah ramai datang ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir.

"Ramai yang bantu menguruskan jenazah jadi saya nampak pemergian isteri dipermudahkan.

"Sebenarnya bukan hanya saya, malah anak sulung dan kedua juga terkesan. Tengok wajah mereka buat saya sedih kerana faham peritnya kehilangan seorang ibu.

"Tapi saya cuba pujuk dan tenangkan mereka. Mujurlah keluarga saya dan mentua banyak membantu selepas pemergian isteri.

"Buat masa ini, adik saya bantu jaga anak sementara saya masih menunggu anak bongsu yang ditahan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) kerana mengalami demam kuning," katanya.

Sharul berkata, banyak kenangan manis bersama isteri yang dikenali sejak di sekolah tadika lagi.

Bagaimanapun, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur Allah SWT hadirkan isterinya dalam mimpinya kelmarin.

"Dalam mimpi itu, arwah kelihatan memakai persalinan serba putih tanpa bercakap langsung.

"Sekali itu saja mimpi dan mahu atau tidak, saya perlu teruskan kehidupan bersama anak.

"Mengikut perancangan, saya akan bawa anak tinggal bersama di Pasir Gudang dan minta bantuan kakak untuk menjaga mereka ketika saya bekerja," katanya yang bekerja di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 7:01 AM