NORAISHAH Ali Khan memangku anak saudaranya Aqeel Zayaan Mohd Zuki selepas kedua-dua ibu bayi itu maut dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
NORAISHAH Ali Khan memangku anak saudaranya Aqeel Zayaan Mohd Zuki selepas kedua-dua ibu bayi itu maut dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


Dungun: "Malam itu saya mimpi kakak datang dan minta saya menjaga anak-anaknya," kata Nuraishah Ali Khan, 26.

Menurutnya, dia tidak menyangka mimpi itu adalah petanda bahawa keluarganya akan kehilangan kakak, abang ipar dan anak saudaranya.

Untuk rekod, kakaknya, Nur Farraheeda Ali Khan, 41, abang ipar, Mohd Zuki Yusof, 44, dan anak mereka, Nasyreen Umayra Mohd Zuki, 10, maut dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini, petang semalam.

Tiga beranak itu maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka bertembung bas dalam kejadian jam 3.10 petang itu.

Bercerita mengenai mimpinya itu, Nuraishah berkata, selepas terjaga pada waktu Subuh dia berhasrat untuk menceritakan mimpinya itu kepada kakak.

"Setiap petang kakak sekeluarga akan datang ke rumah namun pada hari itu saya tidak sempat ceritakan mimpi itu sebelum dimaklumkan mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bakti, hari ini.

Menurutnya, dia dan anak-anak arwah sangat rapat kerana setiap petang anak-anak saudaranya itu bersamanya.

"Saya sangat sedih dengan tragedi yang menimpa kakak sekeluarga dan perlu reda dengan apa yang berlaku. Dua anak arwah akan dijaga kedua ibu bapa saya dan kami sebagai ibu saudara sudah sepakat untuk turut menjaga mereka seperti anak kami sendiri," katanya.

Nuraishah berkata, nahas itu berlaku ketika kakaknya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah.

"Anak bongsu arwah, Aqeel Zayaan Mohd Zuki, 2, tidak dibawa bersama dan berada di rumah pengasuh.

"Saya sangat sedih bila terkenangkan anak arwah, Aqeel dan Damia Irdina Mohd Zuki, 13, yang menjadi yatim piatu," katanya.

Katanya, Damia Irdina yang patah bahu kiri sudah dibenarkan keluar dari Hospital Dungun, pagi ini.

"Arwah kakak sudah tempah kek untuk sambutan hari lahir Aqeel pada Julai nanti dan saya tak sangka itu adalah hadiah terkhir arwah untuk anak bongsunya itu.

"Biasanya arwah akan tempah kek pada saat akhir hari jadi anak-anaknya namun saya pelik kali ini dia membuat tempahan lebih awal sejak tiga minggu lalu," katanya.

Katanya, sepanjang minggu ini, arwah kajaknya itu sering menghantar gambar Aqeel kepadanya melalui WhatsApp.

"Boleh dikatakan setiap malam kakak menghantar gambar Aqeel kepada saya sehinggakan saya merasa pelik dengan sikapnya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 4:33 PM