CHEE Seng mengemas tempat tidur sebelum pergi ke pejabat.
CHEE Seng mengemas tempat tidur sebelum pergi ke pejabat.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Bekas banduan yang bekerja dengan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan beroperasi di daerah ini diberi tempoh seminggu untuk menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan dengan hanya melakukan aktiviti harian termasuk mengemas katil sepanjang tempoh berkenaan.

Bekas banduan, Beh Chee Seng, 45, berkata, selepas dibebaskan dari Penjara Kajang pada April lalu, dia diberi peluang untuk bekerja dengan syarikat terbabit sebagai tukang masak di sebuah hotel di Genting Highlands, Pahang.

"Sepanjang seminggu pertama saya masuk ke asrama syarikat ini, saya tidak terus bekerja dan hanya diminta untuk bangun mengikut waktu kerja ditetapkan.

"Selain itu, saya juga diminta untuk mengemas katil sendiri (di asrama) sebelum pergi ke ibu pejabat syarikat jam 9 pagi.

"Tiba di pejabat, saya tidak membuat sebarang kerja dan balik selepas waktu bekerja iaitu jam 5 petang. Ia kaedah diambil majikan bagi melatih kami (bekas banduan) untuk mendisiplinkan diri serta bersedia untuk 'terjun' ke alam pekerjaan," katanya ditemui di pejabat syarikat berkenaan di sini.

Chee Seng berkata, dia benar-benar mahu mengubah jalan hidupnya selepas terjerumus dengan penyalahgunaan dadah dan kes jenayah yang menyebabkan dia dipenjara 10 kali sejak 2015.

"Sebelum ini, saya memang ada terfikir untuk berubah namun tiada pihak yang dapat membantu. Disebabkan itu, saya amat bersyukur kerana ada yang sudi menerima bekas banduan sebagai pekerja.

"Malah, majikan juga amat memahami apabila mereka turut meminta pandangan saya dalam bidang apa yang saya mahu ceburi. Memandangkan saya pernah bekerja sebagai tukang masak, saya memilih untuk bekerja dalam bidang sama," katanya.

Seorang lagi bekas banduan yang bekerja di syarikat sama, G Nandakumar, 46, berkata, selepas dibebaskan dari penjara pada Mei lalu, dia yang dalam keadaan sehelai sepinggang tidak tahu arah lokasi dituju.

"Saya bersyukur kerana majikan sudi menerima saya untuk bekerja kerana saya sudah serik untuk melakukan kesalahan dan tidak mahu kembali ke penjara," katanya.


Tanya jenis kerja diminati

Kajang: Sebuah syarikat penyedia perkhidmatan beroperasi di daerah ini menggunakan pendekatan mengajar bekas banduan mendisiplinkan diri untuk menjadikan mereka pekerja yang baik.

Ketua Pengarah Urusan dan Diplomatik syarikat itu, Mohd Norsharryadi Shaari berkata, pihaknya tidak mahu bekas banduan terus melakukan kerja hakiki pada minggu pertama mereka berdaftar.

"Pada minggu pertama, mereka hanya perlu bangun tepat pada masa dan perlu kemas tempat tidur (katil) sendiri sebelum pergi ke pejabat.

"Di pejabat, mereka tidak perlu buat kerja dan diminta balik ke asrama semula apabila tamat waktu bekerja. Tujuan kita melakukan amalan ini supaya mereka ada rasa tanggungjawab dan disiplin sebelum masuk ke dunia pekerjaan yang lebih mencabar," katanya ditemui di pejabat syarikat itu.

Mohd Norsharryadi berkata, pihaknya juga akan merujuk kepada pilihan dan kecenderungan bekas banduan itu dalam sesuatu bidang.

"Kita akan tanya mereka, apa jenis pekerjaan yang mahu mereka lakukan, pekerjaan diminati selain jika mereka mempunyai pengalaman atau sijil kelayakan dalam bidang tertentu.

"Daripada situ, kita akan menempatkan mereka di tempat kerja dalam bidang yang mereka selesa dan mahu bekerja. Langkah ini membolehkan mereka rasa bersemangat untuk bekerja bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyediakan pelbagai kemudahan kepada bekas banduan termasuk asrama dan keperluan asas selain manfaat kerja seperti pekerja lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 7:15 AM