PENGHUNI Penjara Pokok Sena yang dibebaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI. FOTO Bernama
PENGHUNI Penjara Pokok Sena yang dibebaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI. FOTO Bernama
BERNAMA

Kajang: Pihak luar sama ada individu atau kumpulan dan badan bukan kerajaan (NGO) digalak memberikan tajaan mahupun sumbangan dana bagi membiayai pengajian banduan yang ingin menyambung pelajaran mereka di peringkat diploma atau ke peringkat lebih tinggi.

Pengarah Penjara Kajang Mohd Roslen Ramli berkata, ramai banduan yang menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian mereka, namun menghadapi masalah kewangan dalam membayar yuran.

"Mereka nak sambung belajar tetapi tiada wang. Jadi, dengan memperoleh tajaan atau sumbangan daripada pihak luar, mereka boleh bayar yuran pengajian," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan taraf pendidikan yang lebih baik, banduan yang akan dibebaskan nanti mempunyai peluang cerah dalam mempunyai kerjaya selain kemahiran dipelajari ketika rawatan dan pemulihan di dalam penjara.

"Mereka (banduan) juga mempunyai masa depan apabila dibebaskan kelak. Apabila ada kelulusan pendidikan peringkat yang lebih tinggi, ada kemungkinan menarik majikan untuk menggajikan mereka bekerja.

"Dengan tahap pendidikan yang lebih baik, ia bukan tiket untuk menjamin seseorang bekas banduan untuk memperoleh pekerjaan, namun ia menjadi satu penambahbaikan untuk majikan meneliti dan mengambil mereka bekerja," katanya.

Mohd Roslen berkata, sehubungan itu, Jabatan Penjara mengalu-alukan mana-mana pihak untuk tampil memberikan tajaan atau sumbangan dana supaya penghuni penjara mempunyai taraf pendidikan yang lebih tinggi dan pelbagai pilihan pekerjaan yang menanti apabila dibebaskan kelak.

Beliau berkata, setakat ini, di Penjara Kajang, lebih 10 banduan sedang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai peringkat secara sepenuh masa dengan seorang daripadanya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Seorang banduan yang dikenali sebagai Zubir (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak mempunyai wang simpanan atau sebarang sumber kewangan yang membolehkannya melanjutkan pengajian melainkan dengan sumbangan atau tajaan daripada pihak luar.

"Saya kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam bidang pentadbiran perniagaan. Selama ini, yuran pengajian saya dibayar oleh NGO dan orang perseorangan bermula daripada peringkat sarjana muda.

"Kami tidak ada wang untuk membayar yuran pengajian. Oleh itu, sumbangan daripada pihak luar sangat kami harapkan untuk menyambung pelajaran supaya peluang untuk mendapatkan pekerjaan selepas keluar penjara menjadi lebih cerah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Roslen berkata, ada bekas banduan yang mendapat pekerjaan setelah dibebaskan dengan menggunakan sijil yang diperoleh semasa menjalani hukuman penjara.

"Banduan perlu diberi peluang sama seperti orang lain. Mereka perlu diberi peluang untuk hidup di luar dengan lebih baik.

"Jika terdapat mana-mana individu, syarikat mahupun NGO yang berminat (memberi tajaan), boleh datang ke Penjara Kajang sendiri atau berurusan dengan pihak Ibu Pejabat Jabatan Penjara di Bahagian Pengurusan Banduan atau Bahagian Dasar bagi sama-sama berbincang untuk menjayakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2023 @ 9:40 AM