MUHD Amirul  menunjukkan kisahnya yang pernah disiarkan media tiga tahun lalu memohon untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri, tetapi sehingga kini masih belum selesai. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
MUHD Amirul menunjukkan kisahnya yang pernah disiarkan media tiga tahun lalu memohon untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri, tetapi sehingga kini masih belum selesai. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Oleh Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: "Sampai bila saya perlu tunggu untuk halalkan hubungan dengan mengahwini teman wanita yang dikenali sejak enam tahun lalu," luah Muhd Amirul Asyraf Abdul Aziz, 29.

Menurutnya, dia hampir berputus asa apabila sudah melakukan pelbagai cara serta usaha untuk mendapatkan kad pengenalan serta sijil kelahiran namun masih belum berhasil.

Malah, katanya, dia juga hampir menjadi mangsa individu yang mahu mengambil kesempatan terhadap diri kononnya mahu membantu mendapatkan dokumen pengenalan diri berkenaan, tetapi perlu membayar dengan jumlah yang tinggi kira-kira RM10,000.

Sebelum ini, media pernah melaporkan kisah Muhd Amirul tiga tahun lalu tidak dapat berkahwin dengan teman wanita kerana masalah tiada kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Muhd Amirul adalah anak sulung daripada perkahwinan kedua Allahyarham bapanya, Abdul Aziz Yaacob, 57, dengan ibunya, Suryah Zakaria, 53, yang berasal dari Kampung Apal, dekat sini.

Media turut melaporkan sijil nikah Allahyarham Abdul Aziz bersama isteri ketiganya, Siti Aishah Aziz, 42, warga Thailand hilang menyebabkan tujuh anaknya tidak dapat bersekolah kerana gagal memperoleh sijil kelahiran dan dokumen pengenalan diri.

Berkongsi lebih lanjut, Amirul berkata, disebabkan masalah yang tiada jalan penyelesaian itu, hubungan dengan teman wanita seakan gantung tidak bertali.

"Saya memang serius mahu kahwin, tetapi tidak ada yang mahu membantu menyelesaikan masalah tiada dokumen diri ini.

"Disebabkan itu, ada ketikanya berasa putus asa kerana tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan untuk mendapatkannya. Namun teman wanita tetap sabar dan menaruh harapan kami akan berkahwin satu hari nanti," katanya.

Katanya, perkara pertama yang mahu dilakukan jika memperoleh dokumen pengenalan diri adalah mahu mengambil lesen serta menghadiri kursus kahwin.

"Sepanjang hidup saya memang tidak pernah ada dokumen pengenalan diri sehingga ada yang mendakwa saya berasal dari negeri jiran," katanya.

Sementara itu, ibu Amirul berkata, dia bernikah di Pattani, Thailand pada 1993 dengan Abdul Aziz namun Allahyarham suaminya tidak dapat membuat pendaftaran pernikahan semula dalam negara.

"Suami bimbang tindakannya berkahwin di luar negara boleh dikenakan tindakan undang-undang yang boleh membawa hukuman penjara. Disebabkan itu. arwah enggan mendaftarkan perkahwinan kami.

"Sijil nikah dari Pattani ini sah, cuma perkahwinan kami tidak didaftarkan di sini. Mujur saya masih simpan sijil asal sehingga hari ini," katanya.

Suryah berkata, ketika mengandungkan Amirul tujuh bulan, dia pergi menziarahi kakaknya di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, Kelantan dan tanpa disangka bersalin awal pada 11 November 1993 di rumah kakaknya itu.

"Ketika itu ada bidan yang sambut kelahiran Amirul dan saya balik ke Terengganu selepas seminggu bersalin tanpa sempat mengambil dokumen sijil kelahiran.

"Sebulan selepas itu arwah suami pergi semula ke klinik berhampiran kawasan itu, tetapi dimaklumkan semua dokumen kelahiran hilang dalam kejadian banjir besar termasuk dokumen Amirul," katanya.

Disebabkan tidak mendaftarkan pernikahan itu, Suryah berkata, dua anaknya yang juga adik Amirul didaftarkan dengan berbin Abdullah serta tiada maklumat bapa.

"Saya berharap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dapat membantu menguruskan proses pendaftaran sijil kelahiran dan kad pengenalan Amirul ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 8:02 AM