Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu menyelesaikan 190 permohonan kad pengenalan baharu melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) tahun ini.

Pengarahnya, Mohamad Nasir Kareem berkata, 243 permohonan baharu dan penukaran kad pengenalan, termasuk permohonan sijil kelahiran diselesaikan melalui program itu.

Katanya, Mekar disediakan bagi memberi kemudahan kepada penduduk, termasuk yang tinggal di pedalaman, mendapatkan dokumen termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran.

"JPN akan menghantar pegawai dan kakitangan untuk menguruskan permohonan kad pengenalan serta sijil kelahiran di lapangan.

"Bermula Januari lalu, JPN sudah menyelesaikan proses 190 permohonan kad pengenalan dan pendaftaran sijil kelahiran," katanya kepada media selepas merasmikan pelancaran kempen Go Green di puncak Bukit Besar, di sini, hari ini.

Pada program itu, 70 pegawai dan kakitangan JPN mendaki Bukit Besar setinggi kira-kira 380 meter sambil membawa Jalur Gemilang selain mengadakan promosi perkhidmatan disediakan JPN.

Mengulas kelewatan pendaftaran sijil kelahiran, Mohamad Nasir berkata, ia berlaku disebabkan sikap ketidakcaknaan ibu bapa.

Katanya, ibu bapa diberi tempoh 60 hari selepas bayi dilahirkan untuk pendaftaran serta permohonan sijil kelahiran.

"JPN negeri merekodkan 286 permohonan pendaftaran lewat sijil kelahiran sepanjang 2022, manakala 235 kes bermula Januari hingga semalam.

"Kita menjangkakan kes pendaftaran lewat kelahiran meningkat tahun ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, lebih 80 peratus kes kelewatan pendaftaran sijil kelahiran adalah disebabkan kecuaian ibu bapa atau penjaga.

Katanya, kebanyakan kes permohonan pendaftaran lewat sijil lahir adalah dalam kalangan penduduk di pinggir bandar yang mempunyai masalah laluan pengangkutan.

"Ibu bapa tidak perlu membawa bayi ke JPN untuk mengemukakan permohonan sijil kelahiran.

"Ibu bapa yang lewat mendaftarkan kelahiran melebihi 60 hari akan dikenakan denda RM50," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 2:47 PM
Mohamad Nasir bersama pegawai dan kakitangan JPN pada program kempen Go Green di Bukit Besar, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
Mohamad Nasir bersama pegawai dan kakitangan JPN pada program kempen Go Green di Bukit Besar, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.