Sharifah Suhaila  bersama anak angkatnya, Muhd Amirul Haziq menunjukkan Sijil Pendaftaran Kelahirannya.
Sharifah Suhaila bersama anak angkatnya, Muhd Amirul Haziq menunjukkan Sijil Pendaftaran Kelahirannya.
Adnan Ibrahim

Kluang: Selepas 12 tahun diserahkan kepada keluarga angkat, kanak-kanak lelaki di Kampung Tengah di sini, merayu ibu bapa kandungnya muncul bagi memudahkan urusan penyerahan anak angkat secara sah.

Muhd Amirul Haziq Subaharom menjejaki bapa dan ibunya, Subaharom Yaakup, 43, dan Rohani Ariffin, 40, yang kini dipercayai berada di Gua Musang, Kelantan.

Menurut penjaga kanak-kanak itu, Sharifah Suhaila Syed Zakaria, 37, pasangan berkenaan sebelum ini bekerja di Johor Bahru dan menyewa rumah ibu saudaranya.

Sharifah berkata, akibat ketiadaan wang untuk membayar sewa rumah, pasangan terbabit menawarkan anak yang masih dalam kandungan kepada ibu saudaranya sebagai ganti.

“Tetapi ibu saudara saya tidak menerima cadangan itu kerana tidak mahu memisahkan pasangan itu dengan anaknya. Malah dia juga tidak kisah dengan tunggakan sewa rumah kerana faham suami isteri berkenaan kesempitan hidup serta mengandung anak pertama.

“Namun pasangan itu berkeras mahu menyerahkan zuriat mereka kepada ibu saudara sebelum bayi lelaki itu diserahkan kepada saya selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada 29 Mac 2006,” katanya.

Sharifah Suhaila berkata, ketika itu pasangan berkenaan hanya menyerahkan Sijil Pendaftaran Kelahiran.

“Apa yang merunsingkan kami sekarang untuk membuat kad pengenalan Muhd Amirul Haziq kerana tanpa surat penyerahan anak angkat secara sah daripada ibu bapa kandung, sukar membuat urusan itu,” katanya.

Sharifah Suhaila turut mengharapkan pasangan suami isteri itu dapat menghubunginya di talian 01112744437 atau datang sendiri ke Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 5:20 AM