EMMANUEL (kiri) sebelum ini hanyalah remaja miskin yang bekerja sebagai penghantar penumpang.
EMMANUEL (kiri) sebelum ini hanyalah remaja miskin yang bekerja sebagai penghantar penumpang.
Agensi

Monrovia: Manfaat daripada sifat jujur. Pengajaran bernilai itu diterima seorang remaja berusia 19 tahun itu yang bertindak jujur memulangkan wang yang ditemuinya di tepi jalan.

Jumlah yang ditemuinya bukan sedikit iaitu AS$50,000 (kira-kira RM211,085), iaitu wang kertas campuran Amerika Syarikat (AS) dan Liberia, lapor BBC.

Emmanuel sebelum ini hanyalah remaja miskin yang bekerja sebagai penghantar penumpang dan ditertawakan kerana mengambil langkah memulangkan kembali wang yang ditemuinya itu.

Dia memberikannya kepada ibu saudaranya dan apabila pemilik yang sah merayu di radio nasional untuk mencari wang itu, Emmanuel tampil ke hadapan.

Nyata, tindakannya itu bertukar menjadi ganjaran termasuk belajar di Ricks Institute, salah sebuah sekolah paling berprestij di Liberia.

Presiden George Weah menyerahkan AS$10,000 (kira-kira RM42,217) kepadanya dan seorang pemilik media tempatan turut memberinya wang tunai, sebahagian daripadanya diperoleh daripada penonton dan pendengar.

Selain itu pemilik wang yang ditemui menyumbangkan barangan bernilai AS$1,500 (kira-kira RM6,332).

Bukan itu saja, sebuah kolej di AS menawarkan biasiswa penuh apabila dia menamatkan pendidikan menengahnya.

"Saya suka sekolah ini, bukan kerana Ricks mempunyai nama besar, tetapi kerana disiplin akademik dan moral," kata Emmanuel.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 7:15 AM