TANGAN perlu sentiasa dicuci bagi mengelak virus Ebola merebak.
TANGAN perlu sentiasa dicuci bagi mengelak virus Ebola merebak.
PROMISE melihat Farley yang banyak membantu keluarganya.
PROMISE melihat Farley yang banyak membantu keluarganya.
 PROMISE (kiri) bersama adik-adiknya, Emmanuel (tengah) dan Benson.
PROMISE (kiri) bersama adik-adiknya, Emmanuel (tengah) dan Benson.
Susunan Faizatul Farlin Farush Khan

Pada mulanya, ibu Promise Cooper mengadu sakit kepala dan mengalami demam panas, namun beberapa hari selepas itu dia menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital.

Bulan seterusnya, ayah gadis berusia 16 tahun itu pula mengalami simptom yang sama, diikuti adik lelakinya. Ketika itulah Promise yang menetap di Liberia sedar apa yang dialami keluarganya bukanlah disebabkan oleh malaria.

Dia pernah mendengar mengenai Ebola di radio. Ketika menjaga ayahnya yang sedang sakit, dia akan cepat-cepat mencuci tangan sebaik menyentuh ayahnya.

Terdesak untuk memastikan adik-adiknya selamat daripada wabak itu, dia menggalakkan mereka keluar dari rumah satu bilik itu dan bermain di luar.

Namun, dia tidak ada kuasa melawan musuh yang tidak kelihatan itu sambil menyaksikan sendiri bagaimana tujuh ahli keluarganya semakin longlai.

Pada masa sama, jiran dan saudara-mara mula berasa curiga. Tiada siapa yang datang untuk melihat keadaan mereka sekeluarga termasuk datuk dan neneknya sendiri.

Kata-kata, sama seperti virus itu, bergerak dengan pantas menyelubungi kawasan itu bahawa keluarga Cooper dijangkiti Ebola.

Selalunya di Liberia yang memiliki keluarga dengan kepercayaan agama mendalam, ada saja ahli keluarga dengan rela hati akan menjaga anak yang kehilangan ibu bapa, tetapi ketakutan kepada Ebola membuatkan hubungan terjalin sekian lama putus begitu saja.

Menurut agensi kanak-kanak Bangsa-Bangsa Bersatu, setakat ini kira-kira 3,700 kanak-kanak di Liberia, Guinea dan Sierra Leone kehilangan ibu bapa akibat jangkitan Ebola dan angka itu dijangka meningkat dua kali ganda menjelang pertengahan Oktober ini.

Ramai kanak-kanak ditinggalkan sendirian untuk mencari makan dan terus menetap di dalam rumah yang tercemar dengan virus berkenaan.

Promise sudah biasa membantu ibu bapa menjaga adik-adiknya yang masih kecil dan selalu mendukung adik sepupunya di sekeliling kampungnya.

Ketika ibunya masih hidup, mereka akan bergilir-gilir memasak. Dia tahu cara memasak bubur untuk sarapan dan nasi dengan kentang sebagai hidangan makan malam.

Apabila ayahnya jatuh sakit, dia melakukan semua kerja yang biasanya dilakukan ibunya. Oleh kerana sekolah ditutup akibat wabak Ebola, Promise mempunyai banyak masa untuk membasuh semua pakaian adik-adiknya.

Tetapi tidak apa yang boleh dilakukannya untuk membantu adiknya, Success yang baru berusia lima bulan. Sama seperti ibunya, bayi lelaki itu turut meninggal dunia.

Lebih menyedihkan, tiada sesiapa datang membantu mereka kerana kemudahan ambulans tidak mencukupi sehingga mayat Success terus berada di dalam rumahnya selama beberapa hari.

Akhirnya apabila ada ambulans yang tiba untuk mengambil ayahnya dan mayat adiknya yang berbungkus selimut, adiknya Emmanuel Junior, 11, pula mula menunjukkan simptom penyakit.

Promise hanya mampu melihat petugas perubatan membawa pergi separuh ahli keluarganya dengan ambulana. Kini dia tinggal bersama adiknya, Benson, 15 dan Ruth, 13.

Dia tidak mampu membuat panggilan telefon untuk bertanya perkembangan ayah dan abangnya di hospital. Seorang pakciknya datang menjenguk dan meninggalkan sedikit perbelanjaan tetapi tidak menyentuh anak-anak saudaranya kerana bimbang dijangkiti.

Promise berazam memastikan mereka tetap bersama sehingga ayahnya kembali ke rumah. Dia membuat keputusan menggunakan sedikit wang yang ada untuk membeli air minuman dan menjualnya kembali dengan keuntungan sekali ganda.

Bagaimanapun, tidak ada orang yang datang membeli kerana tidak ada yang mahu berurusan dengan gadis kematian akibat Ebola dan ayah dan abangnya masih dirawat akibat jangkitan sama.

Biarpun Promise kelihatan sihat tetapi ketakutan terhadap Ebola lebih kuat mencengkam perasaan penduduk di kawasan tempat tinggalnya.

Apabila dia dan adik-adiknya duduk di mana-mana, orang sekeliling akan menyembur cecair peluntur di kawasan itu sebaik mereka beredar.

Bila hendak membeli sesuatu, pemilik kedai enggan menjual kepada mereka. Jiran tetangga melarang anak masing-masing bermain dengan adik-adiknya.

Walaupun petugas kesihatan sudah membersihkan laluan di hadapan rumah kanak-kanak itu, penduduk sanggup mengambil laluan jauh dari rumah Promise. Promise yang sedang bersedih dan rasa tewas akibat stigma yang melanda keluarganya, mula menjadi murung.

"Mengapa kamu semua tidak mahu bercakap dengan saya? Mengapa tiada siapa mahu datang ke rumah saya? Kami juga manusia," katanya dengan linangan air mata.

Bantuan seorang sepupu mencukupkan wang tambang teksi untuk Promise melawat ayah dan adiknya dirawat di klinik.

Promise dan adiknya mundar-mandir di hadapan klinik Ebola yang dipasang wayar berduri untuk mengetahui keadaan mereka.

Seorang daripada pengawal keselamatan datang memaklumkan ayahnya sudah meninggal dunia tetapi tiada siapa yang tahu nasib adiknya, Emmanuel.

Pada masa sama, seorang lelaki dalam komuniti yang juga penyelidik hak asasi manusia, Molton Farley, menyenaraikan nama kanak-kanak yang menjadi yatim piatu di kawasan itu untuk dibantu.

"Kisah keluarga Cooper benar-benar menyentuh perasaan saya dan saya tidak akan berhenti datang ke sini," katanya yang singgah untuk memberikan sabun kepada kanak-kanak itu.

Sewa rumah keluarga itu sudahpun dibayar hingga penghujung tahun ini tetapi Farley amat risau sekiranya Promise menjadi mangsa kerakusan lelaki di situ.Kesedihan Promise terubat sedikit apabila melihat wajah Emmanuel di kaca televisyen. Dia di antara kanak-kanak yang selamat dari wabak Ebola.

Dia cepat-cepat memaklumkannya kepada Farley dan mereka pergi ke klinik untuk menjemput Emmanuel, mangsa pertama yang selamat dari Ebola di kawasan perumahan itu.

Tidak lama selepas Emmanuel pulang, Ruth pula jatuh sakit dan atas nasihat Farley, pada malam pertama Ruth sakit, dia diasingkan daripada adik-beradiknya.

Keesokan pagi, Ruth dibawa ke hospital. Ruth bernasib baik kerana selepas tiga minggu dirawat, dia akhirnya bebas daripada penyakit itu dan dibenarkan pulang.

Tidak lama selepas itu, ibu saudaranya, Helen Kangbo, singgah di rumahnya untuk melawat Promise dan adik-beradiknya yang lain.

"Saya perlu datang kerana semua orang sudah tidak mempedulikan mereka lagi. Saya perlu ada kekuatan untuk datang," katanya.

Kedatangan Helen ke rumah Promise menyebabkan dia juga dipinggirkan oleh ahli keluarga yang lain kerana bimbang kesihatan mereka terjejas.

Apa yang berlaku menyebabkan Promise lebih berhati-hati. Setiap hari dia akan membersihkan kawasan rumah dengan peluntur. Dia juga sering menasihatkan adik-adiknya supaya tidak sesekali menyentuh sembarangan dan sentiasa mencuci tangan dengan bersih.

Di rumahnya kini, tidak ada lagi kesan Ebola yang dapat dilihat kerana pihak berkuasa sudah membakar semua pakaian ibu bapanya dalam usaha mengelak penyakit itu tersebar.

Satu-satunya barang yang menjadi kenangan kepada ibu bapa mereka adalah gambar pada kad mengundi dan ingatan pada Success pula ialah dua botol susu tepung yang masih terletak di atas meja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:02 AM