NG (kanan) menyampaikan saguhati diberikan pemilik beg kepada Cheah yang memulangkan semula beg mengandungi wang tunai RM4,000 dijumpai di tepi Jalan Batu Sinar, Kampar. FOTO ihsan pembaca
NG (kanan) menyampaikan saguhati diberikan pemilik beg kepada Cheah yang memulangkan semula beg mengandungi wang tunai RM4,000 dijumpai di tepi Jalan Batu Sinar, Kampar. FOTO ihsan pembaca
Farah Suhaidah Othman


KEJUJURAN lelaki berusia 48 tahun memulangkan semula beg mengandungi wang tunai RM4,000 yang ditemuinya di tepi jalan, mendapat pujian bukan saja daripada pihak polis, malah daripada pemilik beg berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, Cheah Keng Keong menemui beg berkenaan di Jalan Batu Sinar, Kampar, tengah hari semalam dan terkejut apabila mendapati terdapat wang sebanyak itu di dalamnya.

Katanya, Cheah kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk memulangkan semula wang itu sebelum polis mengesan pemilik beg dan wang berkenaan.

“Lelaki terbabit ternampak beg berkenaan terjatuh daripada sebuah kereta jam 1.20 tengah hari ketika menunggang motosikal melalui jalan itu bersama anaknya.

“Sebaik melihat isi kandungan dalam beg berkenaan termasuk wang tunai, kad pengenalan dan dokumen peribadi, dia terus membawa beg itu ke Balai Polis Kampar bagi membolehkan polis mengesan seterusnya menyerahkannya kepada pemilik,” katanya.

Ng berkata, susulan itu polis mengesan pemilik beg terbabit iaitu seorang guru di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan meminta guru berkenaan datang ke IPD Kampar untuk memulangkan beg terbabit.

“Saya bercadang untuk menganugerahkan sijil penghargaan kepada Cheah kerana bersikap jujur dan amanah sempena Hari Polis nanti.

“Lelaki berkenaan memberitahu walaupun hidup dalam serba kekurangan, dia tidak mengambil duit itu dan itu adalah sikap yang harus dipuji.

“Malah pemilik beg berkenaan meminta saya menyampaikan sedikit saguhati kepada Cheah kerana bersikap jujur untuk memulangkan beg terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 4:14 PM