BERHARAP semua peminat terus menjaga kesihatan diri.
BERHARAP semua peminat terus menjaga kesihatan diri.
Georgie Joseph


PADA tempoh pandemik Covid-19 ini, setiap orang seharusnya menekankan terhadap penjagaan kesihatan dengan sebaiknya.

Bagaimanapun, bukan mudah kerana pelbagai cabaran dilalui sangat menekan terutama dari segi mental.

Tidak mahu peminatnya terus resah, kumpulan SuperM dari Korea Selatan tampil menerusi sesi bertemu peminat secara maya dengan misi tersendiri.

Mereka mendedikasikan acara Prudential x SuperM's Virtual Concert and Fan Meet, baru-baru ini sebagai platform memberi kesedaran itu.

Ia sejajar kempen We DO Well Together yang dimulakan mereka bagi menyedarkan betapa pentingnya menjaga kesihatan ketika ini. Mereka berharap semua orang terutama peminatnya terus kekal menjaga kesejahteraan diri.

Menampilkan empat anggotanya iaitu Lucas, Mark, Ten dan Taeyong, SuperM bukan sekadar bertujuan menghiburkan lebih 900 peminat yang turut serta dalam acara itu, sebaliknya mereka turut berkongsi rasa mengenai situasi semasa.

Menurut Ten, dia sendiri bergelut dengan cabaran sama namun berusaha meletakkan fikirannya dalam ruang positif setiap masa.

Katanya, dia tidak mungkin dapat melakukan kerjanya atau mencapai impian jika tewas dengan keadaan sekarang.

"Saya sendiri memang menitikberatkan fikiran, tubuh badan serta jiwa. Kita perlukan kesihatan yang terbaik untuk tetap dapat bekerja serta mengejar apa saja diinginkan pada masa depan. Justeru, jagalah kesihatan!" katanya.

Menurut mereka, banyak lagi cara yang bagus dalam mengisi masa lapang sewaktu dalam tempoh berkurung demi kekal sihat.

Ia termasuk melakukan senaman, rehat yang cukup serta pemakanan berkhasiat.

Apapun, bagi mereka penjagaan kesihatan bukan sekadar merangkumi aspek yang boleh dilihat dengan mata kasar. Sebaliknya, setiap orang perlu mencari jalan terbaik untuk terus membahagiakan jiwa sendiri. Mana tidak, pelbagai hal pasti boleh memudaratkan apabila jiwa menjadi kosong kerana tewas dengan keadaan sekarang.

Justeru, Taeyong menyarankan peminat mereka sentiasa berhubung dengan orang tersayang.

"Kadang-kadang saya sendiri berpandangan pesimis tapi itu kerana saya berfikiran sempit. Semakin bertemu dengan ramai orang, dari situlah saya mula belajar banyak perkara baharu.

"Bagi saya, apabila sentiasa ditemani serta berkomunikasi dengan mereka, kita pastinya akan merasa lebih bahagia," katanya.

SuperM turut menekankan bahawa setiap orang berhak untuk terus memajukan diri serta tidak malu jadikan rakan-rakan sebagai inspirasi. Tidak perlu wujud persaingan sebaliknya harus terbuka menerima kelebihan orang lain.

Itu antara panduan berguna yang dikongsi Mark apabila bercerita di mana dia mendapat inspirasinya selama ini.

Baginya, seseorang tidak patut sempitkan pemikiran dan pentingkan diri sendiri saja dalam mencapai impian.

SUPERM beri semangat kepada lebih 900 peminat seluruh dunia.
SUPERM beri semangat kepada lebih 900 peminat seluruh dunia.

"Terlalu banyak perkara yang sebenarnya boleh memberi inspirasi kepada kita. Kalau saya sendiri, saya mendapat inspirasi daripada rakan-rakan sendiri selain pengalaman yang berlaku depan mata," katanya.

Tidak ketinggalan, sebagai penghibur juga semestinya memberikan kepuasan tidak terhingga buat mereka selain dijadikan sumber inspirasi. Terutama setiap kali menakluk pentas, Lucas akui di situlah juga mereka mendapat kekuatan luar biasa.

"Mereka (peminat) yang sentiasa memberi kekuatan setiap kali kami tampil ke pentas. Peminatlah juga yang memang mencetuskan inspirasi penting buat diri saya selama ini," katanya.

Walaupun tampil berempat ketika acara itu, ia bukan penghalang buat mereka untuk menghangatkan suasana berkenaan.

Apapun, mereka jelas bersedih apabila seorang lagi anggotanya, Kai tidak dapat turut serta kerana menjalani kuarantin.

Manakala, dua lagi anggota SuperM iaitu Baekhyun dan Taemin pula kini sedang menjalani khidmat ketenteraan.

Menurut Lucas, ia tidak memudarkan semangat mereka jayakan acara itu meskipun tanpa kehadiran yang lain. "Kami tetap SuperM," katanya.

Disaksikan peminat seluruh dunia, Lucas, Mark, Ten, dan Taeyong berjaya menghiburkan semua dengan aksi selamba mereka menjawab soalan setiap peminat. Enam peminat bertuah turut diberi peluang bertanya soalan secara lebih dekat dengan mereka.

Sewaktu segmen persembahan, mereka berjaya menonjolkan pelbagai sisi menarik dengan koreografi serta tenaga nyanyian masing-masing.

Biarpun secara maya, suasananya tetap hangat sebagaimana konsert fizikal.

Dalam acara itu, mereka berjaya memukau penonton dengan persembahan beberapa lagu hit termasuk 100, One (Monster & Infinity', Wish You Were Here dan We DO. Kelibat Kai turut serta dalam beberapa lagu yang dirakamkan terlebih dulu.

SuperM sememangya tidak perlu diperkenal lagi kerana kumpulan itu ditubuhkan dengan gabungan tiga anggota EXO dan empat anggota NCT. Pada acara terbabit, empat yang hadir kesemuanya anggota NCT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 6:00 AM