ALDEN Ehrenreich.
ALDEN Ehrenreich.
Amirul Haswendy Ashari

Dalam kehangatan lakonan Alden Ehrenreich diperkatakan sebagai Hans Solo untuk rendisi terbaru Star Wars yang bakal ditayangkan minggu depan, tidak ramai tahu mengenai tragedi yang pernah menimpa aktor berusia 28 tahun ini.

Alden mendakwa ketika masih kanak-kanak, dia menyaksikan sendiri bapanya dibunuh bapa saudaranya. Mendiang bapanya, Mark dibunuh saudaranya sendiri, Edward ketika Mark dan Alden dalam perjalanan untuk mengambil Edward bagi meraikan sambutan Hanukkah bersama keluarga.

Laporan media berkata, pada Disember 1997, Mark dan Alden yang berusia lapan tahun ketika itu menuju ke rumah Edward. Dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, Edward yang disahkan menghidap penyakit Skizofrenia dilaporkan menikam Mark dengan sebilah pisau.

Edward mendakwa dia mendengar suara yang menyuruhnya berbuat demikian.

Mark yang cedera parah memandu kereta ke sebuah stesen minyak dan membuat panggilan kecemasan 911. Disebabkan kecederaan parah, Mark, 43, akhirnya disahkan mati di hospital.

Seorang lagi bapa saudara Alden, Nicholas Benedit dilaporkan berkata, tragedi itu mengundang trauma dalam hidup pelakon itu.

“Kali terakhir saya bertemu Alden ialah pada hari pengebumian Mark. Kami berkumpul di rumahnya. Ia cerita tragis buat mereka.

“Tindakan Edward dipercayai lepas dia berhenti mengambil ubat. Dia memang gila dan ada skizofrenia, tidak ambil ubat dan kemudian bunuh abangnya sendiri,” kata Nicholas.

Dia menjelaskan, Edward dipercayai sudah menunggu kedatangan Mark dengan pisau dapur di tangan.

Malangnya, pada hari perbicaraan, Edward mengaku tidak bersalah kerana mendakwa dirinya tidak siuman yang kemudian dipersetujui pihak pendakwa raya lantas ditempatkan di pusat tahanan mental. Bagaimanapun, Edward kemudian dipercayai mati pada 2005.

Difahamkan, Alden menyimpan rahsia itu sejak sekian lama dan memperkatakannya semula selepas mencipta nama sebagai pelakon.

Alden yang mengikuti pengajian di Crossroads School For Arts and Sciences, kemudian diberi ruang untuk berehat oleh produser dan pengarah Steven Speilberg yang kebetulan majikan bapanya.

Alden yang mula menjadi sebutan peminat selepas tampil sebagai Coens menerusi filem Hail, Caesar! enggan memberi komen ketika ditanya mengenai tragedi ngeri itu. Dia lebih selesa memperkatakan pertemuannya dengan George Lucas, pencetus Star Wars.

“Saya dapat bercakap dengan Lucas dalam beberapa acara sepanjang tahun lalu. Pada awalnya dia datang ke set, beberapa minggu kemudian saya dapat melawat Ladang Skywalker dan duduk berbual dengannya selama sejam.

“Lucas bercakap mengenai kepentingan bercerita untuk kanak-kanak yang sudah lama dibangkitkan pencipta Star Wars. Dia banyak bercakap pasal muzium yang sedang diusahakan.

“Ia mengenai seni penceritaan dan Star Wars serta beberapa cerita lain yang membantu memberi kebebasan berimaginasi kepada kanak-kanak,” katanya.

Baginya, Lucas berpendapat, sebagai pengkarya tidak ada apa yang boleh dilakukan jika tidak boleh berimaginasi. Alden juga tertarik mengenai nilai dalam sesebuah cerita yang mampu membawa seseorang ke dunia berbeza yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 4:10 AM