ANTARA babak dalam  filem terbaru Star Wars - The Force Awakens.
ANTARA babak dalam filem terbaru Star Wars - The Force Awakens.
GEORGE Lucas.
GEORGE Lucas.
Susunan Oleh Michelle Gun

Pencipta Star Wars, George Lucas kecewa apabila pemilik baru francais itu, Disney menolak beberapa cadangan dikemukakannya untuk filem baru Star Wars - The Force Awakens yang ditayangkan di negara ini pada 17 Disember ini.

Berikutan itu, Lucas, 71, mendedahkan enggan mempunyai sebarang kaitan dengan filem ketujuh Star Wars yang ditunggu-tunggu peminat di seluruh dunia itu.

“Anda menghasilkan satu karya namun apa yang diterima hanya kritikan dan perkara itu kurang menyeronokkan kerana tidak dapat melakukan eksperimen,” katanya.

Tiga tahun lalu, Lucas menjual syarikat produksi miliknya, Lucasfilm yang menerbitkan Star Wars dan Indiana Jones kepada Disney. Lucas yang juga pencipta siri filem Indiana Jones turut berkata, dia sudah tidak berminat untuk mengarahkan filem Star Wars.

“Disney beritahu mereka mahukan karya untuk peminat Star Wars. Namun, orang ramai tidak menyedari Star Wars sebenarnya drama penglipur lara mengisahkan masalah keluarga dan bukan mengenai kapal angkasa.

“Mereka sudah tidak berminat menggunakan jalan cerita seperti itu dan mengambil keputusan untuk menghasilkan karya mengikut cita rasa sendiri. Lantas saya memutuskan untuk mengikut haluan sendiri dan membiarkan mereka dengan cara sendiri,” katanya.

Menyifatkan keputusannya sebagai tanda perpisahan, pengarah itu mahu terus berjalan ke hadapan.

“Apabila sudah berpisah dengan pasangan, peraturan pertama jangan membuat sebarang panggilan telefon. Peraturan kedua, jangan lalu atau pergi ke rumahnya untuk mengetahui aktivitinya. Ketiga, jangan mengunjungi kedai kopi miliknya dan beritahu berniat mahu membakar premis itu. Beri tahu saja semuanya sudah menjadi sejarah dan mahu terus ke hadapan,” katanya.

Ini kali pertama Lucas tidak terbabit dalam pembikinan The Force Awakens, arahan J J Abrams.

Lucas pernah mengarahkan filem pertama Star Wars, Star Wars Episode I, II dan III sebelum menyerahkan kerusi pengarah kepada Irvin Kershner, Richard Marquand dan Abrams.

Dia juga pernah menawarkan kerusi itu kepada beberapa pengarah hebat, Robert Zemeckis, Steven Spielberg dan Ron Howard untuk mengarahkan siri lain Star Wars namun mereka tolak.

Dalam temu bual lain, pengarah itu turut memberi komen mengenai Star Wars - The Force Awakens.

Ketika ditanyakan karakter Star Wars yang dia ingin bawa, Lucas kata, dia sukakan Jar Jar Binks iaitu watak yang dibenci ramai penonton. Melucukan apabila Lucas berkata sangat berminat untuk mengetahui nasib cucu penjahat Darth Vader kerana menjadi persoalan terbesar dalam jalan cerita naskhah itu.

Star Wars - The Force Awakens mengisahkan kejadian yang berlaku 30 tahun selepas trilogi Return of the Jedi yang ditayangkan pada 1983. Filem itu menampilkan pelakon asalnya iaitu Harrison Ford, Mark Hamill dan Carrie Fisher.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:00 AM