ANGGOTA GOT7 gembira dapat kembali ke Malaysia bertemu peminat selepas lebih sedekad.
ANGGOTA GOT7 gembira dapat kembali ke Malaysia bertemu peminat selepas lebih sedekad.
Georgie Joseph


TIADA yang lebih menggembirakan penyanyi yang juga anggota GOT7, Mark Tuan apabila dapat kembali bertemu peminat di Malaysia selepas lebih sedekad.

Kali terakhirnya dia ke sini adalah pada 2014. Mark, 31, akhirnya melunaskan hajat mengadakan konsert solonya menerusi Mark Tuan 'The Other Side' Asia Tour 2024 In Malaysia di Zepp, Kuala Lumpur, baru-baru ini yang dihadiri lebih 2,000 peminat.

Semestinya bukan saja peminat yang teruja, malah ia detik cukup besar makna buat Mark. Rindunya terubat untuk menghibur serta mendekati peminat setianya di sini.

"Saya percaya sudah terlalu lama sangat. Kali terakhir saya datang ke sini adalah untuk acara bertemu peminat, betul? Selain acara itu, ada juga baca komen peminat di Instagram.

"Saya ingin berterima kasih kerana kamu datang pada konsert saya ini. Selamat tahun baru kepada semua. Sangat besar maknanya kamu ada di sini bersama dengan saya," katanya.

Menjadi anggota ketiga GOT7 berkunjung ke sini untuk karier solo, Mark tidak menafikan terus terharu dengan sokongan luar biasa terhadap mereka. Baik secara solo mahupun berkumpulan.

Dia juga menaruh harapan besar agar kesemua mereka dapat mengadakan konsert GOT7 di Malaysia lagi. Dia sentiasa menantikan saat itu selain konsert sendirinya.

"Saya yakin rakan anggota lain akan berkunjung ke sini juga. Terima kasih semua kerana menyokong perjalanan karier solo kami. Semestinya, suatu hari nanti kami bertujuh akan bergabung semula.

"Mungkin kami akan kembali semula ke sini dan mengadakan konsert untuk kamu. Tapi untuk hari ini, kamu di sini demi The Other Side," katanya.

Mark juga turut berkongsi mengenai persiapannya untuk tampilkan kerjaya solo yang unggul. Menerusi dua album terbarunya, dia memberikan sepenuh keringat demi lunaskan impiannya itu.

MARK cukup mempesona dan berkarisma atas pentas.
MARK cukup mempesona dan berkarisma atas pentas.

"Album itu ambil masa setahun untuk disiapkan. Ia disebabkan saya cuma mahu memastikan ia terbaik. Selepas itu, saya lancarkan Fallin," katanya.

Pada konsert anjuran Trumpet International itu, Mark memukau penonton dengan pelbagai sisi penghiburnya. Bukan saja nyanyian bertenaga, bahkan kehebatan tariannya cukup mengagumkan.

Tampil dengan beberapa persalinan berona coklat, staminanya paling menakjubkan kerana setiap lagu dinyanyikan berterusan. Dia redakan penat pun beberapa minit saja.

Dihoskan Hani Fadzil, persembahannya diiringi band serta beberapa penari. Penonton tidak henti menjerit apabila lagu-lagu dinyanyikannya hampir semua mereka tahu dan hafal.

Pada konsert itu, Mark mempersembahkan lagu After Hours, Save Me, Change Up, Exhausted, At My Low, Far Away, Last Breath, Let You Go, My Life, Fallin, Your World, Broken, Selfish, Hard 2 Love, dan More.

Tidak ketinggalan, 2 Faces, Lonely, Everyone Else Fades, Night Still Young, Carry Me Out, Never Gonna Come Down, One in A Million, My Name dan IMYSM.

Sehari sebelum konsert, Mark juga turut menghadiri sidang media khas untuk konsert itu di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota. Di hadapan ribuan peminat dan pengunjung, dia turut berkongsi cerita terbarunya.

Terdahulu, dua rakan anggotanya dalam GOT7 iaitu Jackson Wang dan BamBam turut mengadakan konsert solo mereka di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 6:20 AM