KEADAAN kereta Perodua Bezza yang remuk selepas terbabas sebelum masuk ke dalam pokok getah dan melanggar pokok getah. FOTO ihsan PDRM
KEADAAN kereta Perodua Bezza yang remuk selepas terbabas sebelum masuk ke dalam pokok getah dan melanggar pokok getah. FOTO ihsan PDRM
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Tiga sekeluarga maut apabila kereta dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh pokok getah di Jalan Sungai Sam-Dabong dekat Kuala Geris, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi, mereka yang maut dikenal pasti sebagai pemandu Mohd Hafeez Ibrahim @ Yusoff, 32, dan isterinya, Surina Mohd Othman, 36, serta kakak Mohd Hafeez, Rahimah, 51.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, pihak polis bergegas ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati Perodua Bezza yang dipandu Mohd Hafeez dari arah Kampung Cabang Gemas ke Dabong dipercayai terbabas sendiri ketika melalui selekoh sebelum masuk ke dalam kawasan kebun getah lalu melanggar pokok getah.

"Akibat rempuhan itu, pemandu meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Dabong, manakala dua lagi penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 2:40 PM