Siti Rohana Idris


Kuala Krai: "Saya tahu isteri terbabit dalam kemalangan sebaik dihubungi rakan yang menunjukkan kereta milik adik ipar terjunam dalam kebun getah, namun tidak menyangka dia meninggal dunia.

Begitu kata Mohd Saiful Bahari Ibrahim, 50, suami kepada Rahimah Ibrahim@Yusoff, 51, antara tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Sam-Dabong dekat Kuala Geris, di sini, pada 9.30 pagi tadi.

Mohd Saiful Bahari berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian dari rumah mereka di Kampung Selow Temiang, kira-kira 10 kilometer sebelum mengetahui isterinya terkorban apabila ternampak jenazahnya di luar kenderaan.

"Memang sangat terkejut dan tidak menyangka kejadian yang menimpa isteri kerana baru pagi tadi saya menemaninya bersarapan dan dia memberitahu ingin ke klinik untuk mendapatkan ubat bagi penyakit jantungnya.

"Saya hanya mampu melihat jenazah dari jauh dan dalam keadaan lemah, saya sempat mengusungnya ke dalam trak polis untuk dibawa ke hospital," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, kereta Perodua Bezza yang dipandu adik Rahimah, Mohd Hafeez, 32, dipercayai terbabas ketika melalui selekoh sebelum masuk ke dalam kawasan kebun getah lalu melanggar pokok getah.

Akibat itu, Mohd Hafeez dan isterinya, Surina Mohd Othman, 36, turut meninggal dunia akibat parah.

Mohd Saiful Bahari berkata, isterinya menumpang kereta Mohd Hafeez yang ingin ke Klinik Kesihatan Dabong berikutan Surina yang mengandung tiga bulan anak keempat juga mahu membuat pemeriksaan.

Menurutnya, tiada perubahan dikesan pada arwah, sebaliknya kelihatan gembira kerana menyambut menantu baharu apabila anak kedua mereka, Mohamad Firdaus, 26, melangsungkan perkahwinan, semalam.

"Memang arwah seorang yang ceria walaupun mengalami masalah kesihatan termasuk diserang strok pada Mac lalu.

"Kegembiraannya bertambah apabila menerima menantu kedua semalam dan malam tadi pun dia kerap bergurau senda..namun tidak pula kami perasan akan perubahannya itu," katanya.

Sementara itu, sepupu Mohd Hafeez, Mohd Sukri Che Wil, 46, berkata selain isteri dan kakak mangsa, ibunya juga mahu mengikut mereka ke klinik.

"Ketika sedang bersiap, kereta Mohd Hafeez tiba-tiba terus bergerak meninggalkan ibunya tanpa memberitahu apa-apa.

"Rupa-rupanya sudah ajal mereka bertiga," katanya memaklumkan Mohd Hafeez turut menghidap sawan sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, jenazah ketiga-tiga mereka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laloh dalam satu liang lahad.

Mohd Saiful Bahari Ibrahim, 50, menunjukkan gambar isterinya, Rahimah Ibrahim, 51 yang maut apabila kereta dinaikinya hilang kawalan sebelum merempuh pokok getah di Jalan Sungai Sam, Dabong dekat Kuala Geris ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohd Saiful Bahari Ibrahim, 50, menunjukkan gambar isterinya, Rahimah Ibrahim, 51 yang maut apabila kereta dinaikinya hilang kawalan sebelum merempuh pokok getah di Jalan Sungai Sam, Dabong dekat Kuala Geris ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Berita berkaitan

Tiga maut kereta rempuh pokok getah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 5:52 PM