emalangan di Kilometer 106.1, Jalan Kota Bharu - Gua Musang dekat Sungai Sam, awal pagi tadi yang mengakibatkan seorang warga emas maut. FOTO/IHSAN PDRM
emalangan di Kilometer 106.1, Jalan Kota Bharu - Gua Musang dekat Sungai Sam, awal pagi tadi yang mengakibatkan seorang warga emas maut. FOTO/IHSAN PDRM
Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Seorang maut, manakala sembilan lagi termasuk kanak-kanak berusia dua tahun cedera apabila sebuah kereta bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 106.1 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Sungai Sam di sini, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, mangsa yang maut itu adalah seorang wanita warga emas dikenali sebagai Eshah Ismail, 70, yang menaiki MPV jenis Naza Ria.

Menurutnya, sembilan yang lain membabitkan tiga lelaki dan tiga wanita juga menaiki Naza Ria mengalami kecederaan, manakala pemandu dan dua penumpang Proton Suprima termasuk kanak-kanak mengalami kecederaan di badan.

"Pada 6.50 pagi tadi, kami menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan yang berlaku membabitkan dua kenderaan dan terdapat seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati Proton Suprima yang dipandu anggota tentera berusia 31 tahun dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang.

"Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba MPV dipandu lelaki berusia 48 tahun yang datang dari arah bertentangan cuba memotong kenderaan lain, namun gagal berbuat demikian dan menyebabkan berlakunya pertembungan antara kenderaan terbabit.

"Ibu pemandu berkenaan yang berada di belakang tempat duduk pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suzaimi berkata, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 3:14 PM