Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Warga emas dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa Mohammad Ishak, 70, memberitahu anaknya mahu pergi ke Pengkalan Lan bagi melihat sampannya.

Katanya, anak mangsa kemudian pergi ke Pengkalan Lan apabila bapanya tidak pulang ke rumah selepas dua jam dan mendapati motosikal serta barang-barang milik lelaki itu berada di tepi sungai.

"Selepas mencari di sekitar kawasan Pengkalan Lan, mangsa tidak dijumpai dan anaknya mengesyaki ayahnya mungkin terjatuh serta dibawa arus sungai.

"Anak mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Dabong pada 10 malam tadi berhubung kehilangan ayahnya yang difahamkan juga menghidap penyakit jantung," katanya dalam kenyataan, di sini.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Nurul Alfisyahrin Mhd Zaki berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 8.40 pagi tadi.

"Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Bermula pagi tadi, pihak kami menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan mangsa dengan kerjasama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Kubor dan BBP Pengkalan Chepa serta Unit Anjing Pengesan (K9).

"Bagaimanapun, setakat ini, mangsa masih belum berjaya ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 1:14 PM