Pasukan bomba dan penyelamat membantu mangsa dalam kemalangan antara lori dengan bas di Kilometer (km) 60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Keroh. FOTO Ihsan orang awam
Pasukan bomba dan penyelamat membantu mangsa dalam kemalangan antara lori dengan bas di Kilometer (km) 60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Keroh. FOTO Ihsan orang awam
Hidayatidayu Razali


Kuala Krai: Pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas dan bertembung dengan bas ekspres yang membawa 22 penumpang dalam kejadian di kilometer (km) 60 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Keroh di sini, malam tadi.

Bagaimanapun kelindan lori, pemandu bas berusia 61 tahun hanya mengalami kecederaan ringan manakala 22 penumpang selamat.

Dalam kejadian 10.20 malam itu, mangsa, Aniq Syauqi Che Ajizi, 24, yang memandu lori jenis Hino membawa muatan barangan runcit meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai menerima makluman kemalangan antara lori dan bas pada jam 10.40 malam

Katanya, siasatan awal mendapati lori itu dalam perjalanan dari Gua Musang menuju ke Kota Bharu, manakala bas membawa 22 penumpang dari arah Kota Bharu ke Seremban.

"Apabila sampai di lokasi, lori terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan menyebabkan bas cuba mengelak ke kiri jalan, namun akibat jarak terlalu dekat kenderaan bertembung dan mengakibatkan pelanggaran di bahagian hadapan sebelah pemandu. Pemandu bas kemudian bergerak ke kiri jalan sehingga melanggar penghadang.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk bedah siasat, manakala kelindan lori, pemandu bas cedera ringan turut dibawa dihantar ke hospital yang sama.

"Sementara itu, 22 penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa oleh pihak syarikat bas ke lokasi yang dituju dengan selamat," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis akan menjalankan siasatan secara terperinci.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 12:36 PM