SAMIR menunjukkan permainan lego di dalam rongga hidungnya. FOTO Agensi
SAMIR menunjukkan permainan lego di dalam rongga hidungnya. FOTO Agensi
Agensi

Auckland: Hanya selepas dua tahun, kepingan permainan lego yang tersumbat di dalam hidung seorang kanak-kanak lelaki dari Dunedin di selatan New Zealand akhirnya dikeluarkan.

Menerusi portal berita BBC, Samir Anwar dikatakan bermain permainan itu pada 2018 dan memasukkan kepingan itu ke dalam hidungnya.

Bapanya, Mudassir kemudian membawa Samir ke sebuah klinik berhampiran dan doktor memaklumkan permainan itu akan keluar sendiri menerusi pernafasan kanak-kanak itu secara semula jadi.

Mendengar penjelasan daripada doktor, Mudassir dan keluarganya berasa lega dan berharap kepingan permainan itu dapat keluar seperti dimaklumkan doktor berkenaan.

"Sejak itu kami yakin dia (Samir) tidak mempunyai sebarang masalah pernafasan, walaupun beberapa hari selepas kejadian, dia ada mengadu kurang selesa di bahagian hidung," katanya.

Namun, dua tahun selepas kejadian itu, kanak-kanak itu tiba-tiba gelisah ketika makan mufin.

Samir kemudian memberitahu keluarganya terdapat benda asing di dalam rongga hidungnya.

Dia berkata, Samir kelihatan gelisah dan dia meminta anaknya mendengus beberapa kali sebelum satu objek halus berwarna hitam tiba-tiba keluar dari hidung.

"Objek yang keluar adalah kepingan Lego yang masuk ke dalam hidungnya dua tahun lalu. Kami sekeluarga sungguh terkejut kerana objek itu rupanya masih berada di dalam hidungnya.

"Saya kemudian membawa semula Samir bertemu dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan benda asing yang berada di dalam hidungnya benar-benar keluar," katanya.

Walaupun terkejut dan bimbang kejadian sama berulang, Samir berkata, dia masih gemar bermain permainan Lego.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:59 AM