Agensi

Taipei: Seorang wanita di Taiwan tidak menyedari serpihan sumpit sudah terbenam selama seminggu di hidungnya.

Wanita berusia 29 tahun itu pada mulanya dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan selepas bergaduh dengan adiknya.

Di hospital dia menerima rawatan di hidung dan bawah mata kiri namun doktor tidak mengesan sebarang objek ganjil di kepala mangsa.

Namun, selepas dibenarkan pulang ke rumah, dia curiga kerana lukanya semakin serius lalu kembali semula ke hospital.

Dia curiga sumpit yang digunakan adiknya ketika mereka bergaduh masih belum dikeluarkan dari tubuhnya.

Selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, pasukan perubatan menemui serpihan sumpit masih terbenam di tengah hidung mangsa.

Imbasan yang dijalankan juga mendapati terdapat dua serpihan sumpit dengan panjang 3.5 dan lima sentimeter (cm).

Pemeriksaan lanjut juga membuat kesimpulan pendarahan serius dialami mangsa disebabkan luka serpihan sumpit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Julai 2021 @ 6:30 AM