London: Seorang budak lelaki berusia dua tahun mengalami kecederaan teruk pada mukanya selepas diserang anjing jenis bullmastiff ketika bermain di dapur di rumah teman lelaki ibunya.

Ollie Cummings diserang ketika berdiri di sebelah anjing itu yang sedang makan dan tiba-tiba membaham kepalanya mengakibatkan kesan luka yang dalam pada muka kanak-kanak itu.

Dia terpaksa melalui pembedahan untuk membentuk semula sebahagian hidungnya.

Ibunya Natasha Wilson, 25, sempat melepaskan anaknya daripada gigitan anjing itu sebelum memanggil ambulans ke rumah di Dundee itu.

Ollie dibawa ke Hospital Ninewells untuk pembedahan selama dua jam bagi membetulkan hidungnya dan memerlukan satu lagi prosedur susulan apabila berusia sekitar 10 tahun.

Nenek Ollie, Debs Martin, 48 berkata, mereka semua terkejut kerana kejadian berlaku begitu pantas.

“Ketika kejadian, Ollie sedang bermain dengan beberapa anak kunci dan berpura-pura membuka serta mengunci beberapa pintu. Kami tidak pasti apa yang berlaku, mungkin kunci dibawanya terjatuh di sebelah anjing itu.

“Mukanya mempunyai kesan gigitan selain luka besar dari hidung ke matanya. Hidungnya kini sudah dibetulkan dan doktor memantau keadaannya untuk memastikan tiada jangkitan kuman,” katanya.

Menurutnya, Ollie yang bakal menyambut hari jadinya pada 23 November ini tidak menunjukkan kesan trauma akibat kejadian itu.

Katanya, pemilik anjing berkenaan yang juga teman lelaki Natasha terkejut dengan kejadian itu dan haiwan itu akan dibunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:06 AM