Luqman Hakim.
Luqman Hakim.
Oleh Firdaus Hashim


PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin akan diwajibkan menjalani kelas bahasa Inggeris sebaik tiba di Belgium bagi memudahkannya berkomunikasi bersama rakan sepasukan di kelab KV Kortrijk nanti.

Malah, ia juga sebahagian daripada perancangan kelab untuk memastikan Luqman segera dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran, sekali gus mengelak episod 'pulang awal' seperti mana dialami beberapa pemain lain sebelum ini.

Pemilik kelab KV Kortrijk yang juga ahli perniagaan terkenal tanahair, Tan Sri Vincent Tan berkata, beliau sendiri akan membantu penyerang berbakat itu sepanjang dia berada di kelab itu.

"Saya sendiri akan membantu Luqman. Saya mahu Luqman menjadi contoh bagus kepada pemain tempatan yang lain dan saya mahu memastikan jika boleh dia kekal lebih lama di Eropah.

"Misi menyertai KV Kortrijk bukan semata-mata belajar dalam sesi latihan sahaja, tetapi dia harus pantas menyesuaikan diri di mana saya percaya Luqman mampu lakukan jika diberi segala ruang," katanya.

Perancangan Vincent Tan itu sememangnya tepat di kala beberapa pemain senior sebelum Luqman 'kecundang awal' apabila pulang ke tanahair selepas gagal menyesuaikan diri di Eropah.

Bekas tonggak tengah kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor antara pemain tempatan yang pulang sebelum berakhirnya kontrak ekoran beberapa masalah bersama kelab lamanya di Portugal, SC Beira Mar pada 2013 lalu.

Selain itu, Vincent Tan yang juga pemilik kelab Cardiff City dalam saingan Liga Kejuaraan England percaya Luqman mampu menyesuaikan diri di KV Kortrijk.

Pada Jumaat lalu, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan Luqman bakal berhijrah ke Eropah dengan mengikat kontrak bersama KV Kortrijk, sekali gus meleraikan teka-teki tentang status pemain itu yang dikatakan akan kekal dengan Selangor hingga musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 7:00 AM