ANWAR (kiri) menyatakan bahawa Tun Mahathir kecewa dengan kemelut politik yang melanda negara ini. FOTO NSTP
ANWAR (kiri) menyatakan bahawa Tun Mahathir kecewa dengan kemelut politik yang melanda negara ini. FOTO NSTP
Wartawan NSTP

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa dengan kemelut politik yang melanda negara ketika ini.

Ditemui media di luar ibu pejabat PKR di sini, Anwar berkata dalam pertemuannya dengan Ahli Parlimen Langkawi itu pagi tadi, Dr Mahathir menyatakan tidak terbabit dengan komplot pengkhianatan ini.

“Saya merayu kepada beliau untuk PKR, Pakatan Harapan (PH) bahawa pengkhianatan ini boleh ditangani bersama tetapi sudah tentu dia mempunyai fikiran berbeza.

“Dia fikir, dia tidak patut diperlakukan dengan cara itu. Namanya (Dr Mahathir) digunakan, orang-orang di dalam parti saya dan di luar (parti),” katanya.

Anwar berkata, Dr Mahathir juga tidak memainkan peranannya dalam komplot kerajaan campuran yang sedang berlaku ini.

“Dia mengulangi apa yang dia katakan kepada saya tadi, dia tidak memainkan peranan didalamnya (pembentukan kerajaan campuran),” katanya.

Anwar juga meminta semua pihak menghormati proses perlembagaan dengan membiarkan Dr Mahathir dan Yang Dipertuan Agong menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku ini.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 4:28 PM