Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa ucapan popular sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri, harga petrol akan turun dibuat ketika Pas masih bersama Pakatan Rakyat (PR).
Anwar berkata, ucapan itu dibuat di Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ketika itu Pas juga ada bersama-sama selain DAP membentuk gabungan dikenali PR.
"Ada yang mempertikai soal minyak (mengenai ucapan) hari ini kita menang, esok minyak turun. Itu disindir oleh Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin).
"Bila saya (sebut) perkara itu, PKR, DAP dan Pas bersama. Apa yang saya sebutkan itu dipersetujui oleh PKR, DAP dan Pas," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, apa yang berbeza ialah harga petrol pada 2018 antara Malaysia dan Arab Saudi ketika itu.
"Di Malaysia, RM2.21 sen, Arab Saudi masa itu sudah naik RM2.19 sen. Tak mengapa.
"Sekarang 2023, berapa harga minyak di Arab Saudi? RM2.84. Berapa harga minyak di Malaysia? RM2.05," katanya.
Anwar berkata, harga minyak petrol di negara ini juga masih lagi rendah berbanding dengan negara lain.
"Oleh itu untuk terus menggunakan komen dan hujah yang kita buat bersama-sama dalam Pakatan Rakyat, tidak tepat sebenarnya," katanya.