DR Mahathir menandatangani Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ketujuh, 10 Mei lalu. FOTO Bernama
DR Mahathir menandatangani Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ketujuh, 10 Mei lalu. FOTO Bernama
Nurhayati Abllah; Farah Adilla; Tasnim Lokman dan Fahmy Azril Rosli


TUN Daim Zainuddin mahu semua pihak menghormati lantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Bekas Menteri Kewangan ketika zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat berkata, sepatutnya pihak yang mengkritik dan tidak berpuas hati terhadap lantikan itu perlu menerima dengan hati terbuka.

Katanya, pemimpin politik seperti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pun tahu menghormati keputusan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Saya beberapa kali bertemu Anwar dan saya anggap beliau adalah seorang ahli politik yang hebat.

“Ini kerana, Anwar tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi dengan baik dan beliau faham apa yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Dalam manifesto itu, Pakatan Harapan menawarkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim selama dua tahun dan rakyat terima,” katanya pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, hari ini.

Daim juga memuji kematangan Anwar dan Dr Wan Azizah dalam kemelut pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Katanya, ini kerana mereka berdua sememangnya faham situasi politik sekarang dengan jelas.

“Tetapi, generasi muda tiada sikap itu. Mereka kena terima (keputusan). Sikap kepemimpinan ini akhirnya akan membantu parti.

“Anwar dan Wan Azizah sudah beri indikasi jelas mengenai pelantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Mereka berdua juga menghormati manifesto,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 8:27 PM