PESAWAT khas membawa rakyat Amerika Syarikat yang dibawa keluar dari Wuhan tiba di California. FOTO Arkib NSTP
PESAWAT khas membawa rakyat Amerika Syarikat yang dibawa keluar dari Wuhan tiba di California. FOTO Arkib NSTP
AFP

Wuhan: Kira-kira 1,000 rakyat asing yang terkandas akibat krisis kesihatan global di China terdesak untuk keluar dari wilayah itu susulan penularan wabak koronavirus baharu.

Seorang wanita yang hamil dua bulan yang berasal dari Thailand berkata, dia berasa seperti diabaikan apabila kerajaan negara itu masih belum membawa rakyatnya keluar dari wilayah berkenaan.

“Saya bimbang kesihatan bayi dalam kandungan,” kata pekerja kilang itu kepada AFP.

Wanita itu tiba di China dua minggu lalu bagi mengikuti suaminya yang berasal dari Xiantao, kira-kira 200 kilometer dari Wuhan.

Seorang pelajar kedoktoran dari Indonesia, Fadil pula berkata dia dan rakannya terdesak mahu meninggalkan Wuhan.

“Tidak kisahlah kalau dapat ke bandar lain, asalkan kami keluar dari Wuhan,” katanya.

Sementara itu, beberapa warga Myanmar memuat naik di Facebook merayu bantuan untuk membawa mereka pulang.

Ratusan warga negara lain dilaporkan sudah selamat terbang ke Tokyo, Singapura dan California menerusi penerbangan sewa khas kerajaan masing-masing.

Bagaimanapun, negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengan China masih tidak berbuat demikian.

Korea Selatan, Perancis dan Britain mengumumkan sedang membuat persiapan mengeluarkan rakyat mereka.

Sehingga kini, kerajaan Thailand masih menanti kebenaran dari China membawa keluar 65 rakyatnya yang terperangkap di wilayah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 3:46 PM