Pelajar lelaki tertusuk anak panah ketika menjalani latihan di sekolahnya di Gurun semalam dan (gambar kanan) imbasan anak panah menembusi hingga ke telinganya. Foto Ihsan Pembaca
Pelajar lelaki tertusuk anak panah ketika menjalani latihan di sekolahnya di Gurun semalam dan (gambar kanan) imbasan anak panah menembusi hingga ke telinganya. Foto Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad

PELAJAR tingkatan empat cedera di mata kiri selepas tertusuk anak panah sewaktu menjalani latihan memanah di bawah garaj kereta di kawasan padang sekolahnya di Gurun semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, pelajar lelaki berusia 16 tahun itu dikatakan terkena anak panah yang dilepaskan oleh seorang rakannya secara tidak sengaja.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berada di kawasan itu bersama tiga pelajar lain termasuk pelajar perempuan yang melepaskan anak panah berkenaan.

“Terdapat dua sasaran (target) iaitu dengan kedudukan jarak 70 meter dan lima meter manakala jarak pemanah antara dua sasaran terbabit hanya lebih kurang tiga meter.

“Pelajar perempuan terbabit sedang membuat panahan pemanas badan pada sasaran lima meter manakala mangsa dan dua rakan lagi berlatih memanah pada sasaran 70 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, pelajar perempuan itu sedang memegang pemanah sebelum melihat mangsa melintas di hadapannya.

Katanya, dia dikatakan terlepas panahan dan anak panah terus menuju ke arah kepala mangsa dan mengenai pada mata kiri mangsa serta tembus hingga ke telinga.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi mendapatkan rawatan serta menjalani pembedahan.

“Anak panah berjaya dikeluarkan, doktor mengesahkan anak panah itu tidak mengenai bahagian mata dan hanya mengenai di bahagian saraf pada sebelah mata kiri,” katanya.

Beliau berkata, menurut saksi dikatakan ketika kejadian tiada pemantauan daripada guru dan pelajar terbabit mendakwa mengambil sendiri peralatan sukan memanah di stor untuk menjalani latihan memanah bagi mewakili daerah dalam pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kedah (MSSK) pada 19 Februari ini.

Katanya, setakat ini kertas inkuiri polis (KEP) sudah dibuka bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 9:47 PM