REMAJA perempuan turut diajar kemahiran memanah.
REMAJA perempuan turut diajar kemahiran memanah.
KANAK-KANAK juga teruja belajar jemparingan.
KANAK-KANAK juga teruja belajar jemparingan.
PANAHAN dilakukan dalam keadaan duduk bersila.
PANAHAN dilakukan dalam keadaan duduk bersila.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Sambil duduk bersilang kaki, Supadmi yang berusia 68 tahun melepaskan anak panahnya ke tengah padang. Sebaik anak panahnya menembusi sasaran, loceng dibunyikan - menandakan dia mendahului pertandingan satu bentuk permainan memanah tradisional di Indonesia yang masih diteruskan sejak dulu.

Dia antara ahli sukan yang memakai perhiasan kepala berwarna-warni dan kain sarung yang melepaskan ratusan anak panah serentak dalam satu kejohanan di Jogjakarta.

Aktiviti memanah tempatan yang dikenali sebagai jemparingan ini sebenarnya sudah menjadi permainan rakyat sejak kerajaan kuno Jogjakarta, di mana kuil Buddha dan Hindu ‘duduk’ megah di tengah kehijauan sawah.

Selepas hampir dilupakan, kini jemparingan mula mendapat tempat kembali di hati generasi muda Indonesia khususnya yang baru berjinak dalam sukan berkenaan. Manakala pemanah veteran pula menggunakan peluang itu untuk mewariskan kemahiran mereka kepada remaja sebelum ia hilang ditelan zaman.

“Sukan ini melatih karakter kerana kita perlu bertenang sebelum melepaskan anak panah,” kata Supadmi, menerangkan bagaimana memanah boleh menjadi aktiviti yang memberi manfaat kepada badan dan jiwa.

Kecintaan kepada sukan memanah ini membolehkan ia terus bertahan hingga ke zaman moden dan menjadi kekuatan Indonesia apabila berjaya mencatat kejayaan dalam kejohanan antarabangsa. Malah pemanah Indonesia membawa pulang pingat perak yang pertama dalam Sukan Olimpik di Seoul pada 1988.

Namun populariti jemparingan itu sendiri semakin merosot dan hampir pupus pada sekitar 1990-an selepas kematian seorang penyokong utamanya, bangsawan Indonesia - Duke Paku Alam VIII.

Bagaimanapun, nampaknya sukan tradisional Indonesia ini masih bertahan malah semakin popular. Baru-baru ini seramai 140 pemanah mengambil bahagian dalam kejohanan di Jogjakarta yang turut dihadiri ramai pemimpin.

Di istana Jogajakarta, satu kumpulan jemparingan baru ditubuhkan dua tahun lalu dan menariknya, ia memperkenalkan gaya sukan diraja dan mengadakan perjumpaan setiap minggu.

Pada masa sama, pada 2012 satu kelab memanah yang lain juga ditubuhkan oleh penggiat sukan ini di Solo. Bahkan kerajaan juga memberi peruntukan khas bagi menyokong kemunculan semula sukan kuno itu.

Latihan jiwa

“Sasaran kami ialah generasi muda dan kami mahu menyampaikan mesej kepada semua penduduk memanah ialah sukan yang menyeronokkan,” kata Agung Sumedi dari kelab jemparingan Langenastro kepada wartawan AFP. Dia juga melatih kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Walaupun mendapat sokongan dan bantuan kewangan daripada kerajaan, bukan mudah untuk jemparingan mencuri perhatian masyarakat sekarang.

Menurut pemanah veteran, Rahmat Sulistyawan, pada era 1990-an dulu, boleh dikatakan setiap wilayah di Jogjakarta mempunyai pertandingan jemparingan sendiri dan kejohanan kemuncak diadakan di istana bagi merebut piala Duke.

Dia masih mempertahankan piala yang dimenanginya dalam kejohanan pada 2000 ketika dia baru berusia 15 tahun. Atlet tempatan lain mendakwa ramai pemanah veteran yang sudah lama melupakan jemparingan.

Asalnya jemparingan dimainkan oleh keluarga diraja dan golongan bangsawan Jogjakarta sebelum ia bertukar menjadi sukan rakyat.

Tidak seperti sukan memanah moden, pemanah jemparingan perlu memanah dalam keadaan duduk bersilang kaki. Kalau sukan memanah moden menyasarkan untuk membidik bulatan tengah (bull-eye), pemanah jemparingan pula berusaha supaya anak panah mereka menembusi palang kecil yang dibuat daripada span dan jerami berukuran 33 sentimeter panjang (13 inci) - sebagai lambang badan manusia.

Bahagian atas palang itu dibalut dengan kain berwarna merah (dianggap sebagai kepala), di bawahnya kuning (leher) dan selebihnya dililit kain warna putih (badan). Seseorang pemanah akan mendapat markah tertinggi jika anak panah menembusi bahagian merah. Apabila anak panah terpacak pada sasaran, loceng akan dibunyikan untuk memberitahu si pemanah - yang duduk 30 meter dari palang berkenaan - mengenai kejayaannya itu.

Bagi mereka, jemparingan bukan sekadar senaman fizikal, tetapi ia juga latihan jiwa. Mengikut kaedah tradisional, tali busar ditarik hingga ke dada, bukan ke paras mulut seperti kaedah memanah moden - langkah yang dikatakan dapat melatih ketenangan fikiran dan daya tumpuan.

Menurut penggiat sukan ini, semua proses dalam memanah ini memerlukan tumpuan dan kesabaran. Malah sukan ini juga secara tidak langsung mengajar manusia supaya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan fokus kepada sasaran, bukan musuh.

Pada kejohanan baru-baru ini, Supadmi muncul sebagai juara dalam kategori individu wanita yang membolehkannya membawa pulang piala, wang tunai 500,000 rupiah (RM153) dan ayam hidup, sebagai hadiah bonus kerana anak panahnya berjaya mengenai sasaran tiga kali berturut-turut.

Walaupun usianya sudah lanjut, namun dia tetap nekad untuk menyertai kejohanan berkenaan dan bercadang mengajar jemparingan kepada dua cucunya.

“Kita mesti hidupkan sukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 2:37 PM