MEMBUAT persiapan busur sebelum sesi memanah.
MEMBUAT persiapan busur sebelum sesi memanah.
CERIA sebahagian ahli Saber Arcery hadir dalam pertandingan mini kelab itu.
CERIA sebahagian ahli Saber Arcery hadir dalam pertandingan mini kelab itu.
AKSI sebahagian ahli menjalani latihan.
AKSI sebahagian ahli menjalani latihan.
Nurul Husna Mahmud


Kagum, itu perasaan yang terbit ketika mengenali sekumpulan peminat sukan memanah memperkenalkan diri sebagai komuniti Sabre Archery.

Tiada ganjaran mahupun piala dikejar, sebaliknya penggiat sukan ini bergerak sendiri atas dorongan minat mahupun keghairahan mendalam terhadap sukan rekreasi berkenaan.

Lihat saja pada seleksi busur dimiliki mahupun aksesori digunakan, ada antara koleksi set lengkap memanah mencecah puluhan ribu ringgit. Namun, itu tidak membuatkan mereka mendabik dada, sebaliknya rendah diri dan tulus berkongsi pengalaman masing-masing.

Tambah menarik mengenai Sabre Archery ialah komuniti itu juga terbuka menerima penyertaan ahli tidak mengira umur, bangsa mahupun pengalaman dalam pembabitan sukan memanah.

Menurut Pengasas Sabre Archery, Razlan Mohd Isa, awal penubuhan Sabre Archery ialah bermula dengan inisatif kenalannya Joseph Chai.

“Pada 2010, Joseph Chai perintis kepada komuniti ini apabila memulakan latihan memanah untuk kenalan dan pelanggan kedai dalam talian bernama Sabre Archer.

“Dia yang memberi latihan di padang sukan Bukit Jelutong dan ketika itu ahli kami hanya sedikit saja. Tetapi semenjak 2012, bilangan peminat acara ini bertambah dan secara tidak rasmi kumpulan kami dipanggil Sabre Archer.

“Memastikan kumpulan ini dapat bergerak secara aktif dengan sah, saya mengambil inisiatif untuk prosedur mendaftarkan kumpulan ini sebagai satu kelab pada 2015.

“Dari lokasi pertama kami berpindah ke kawasan lapang sasar dengan kebenaran pemaju. Kini menjadi lokasi rasmi komuniti ini berkumpul hujung minggu. Fokus kami lebih kepada pemanah sasaran (target archery) berkongsi skil dan minat mereka.

“Ada juga yang datang bawa keluarga dan pada saya aktiviti ini mempunyai manfaat besar baik pada individu mahupun komuniti setempat,” katanya.

Menyentuh latar belakang ahli mahupun pemanah menyertai aktiviti terbabit, kata Razlan, dia serta jawatankuasa komuniti tidak meletakkan sebarang syarat berkaitan umur mahupun tahap kemahiran menyertai Sabre Archery.

“Kita mengalu-alukan mana-mana individu minat memanah. Tidak kisahlah mereka tidak pernah bermain atau sekadar mahu mencuba mahupun sudah pemanah profesional.

“Kalau dilihat yang datang setiap hujung minggu, kami bukan saja disertai Melayu, malah pelbagai latar belakang, Cina mahupun India atau bukan orang tempatan, dialu-alukan untuk memanah bersama kami.

“Kita mahu mengubah persepsi kurang tepat mengenai sukan ini yang selalu dikaitkan dengan golongan berduit saja. Menggalakkan sukan ini berkembang dalam kalangan penggiat sukan tempatan.

“Selain itu, dengan komuniti ini kita berharap mereka yang berhasrat ingin menyertai memanah boleh mendapatkan maklumat betul mengenai cara dan busur yang sesuai,” katanya.

Buat peminat sukan memanah, Wan Rohafizan, meskipun terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Bangi ke Bukit Jelutong setiap hujung minggu, dia tidak pernah serik.

“Saya temui komuniti ini menerusi laman Facebook. Saya tertarik kerana komuniti ini terbuka dan ahli lama tidak skeptikal dengan kemampuan ahli baru, malah sangat mendorong satu sama lain.

“Bagi pemanah ‘target archery’ kepuasannya ialah lagi jauh jarak di panah dan lagi tepat mereka dapat membidik bermaksud makin bagus skil mereka. Saya kini boleh membidik sasaran pada jarak lebih 30 meter.

“Namun tidak dinafikan selain skil memanah, jenis busur serta anak panah digunakan turut memberi maksud berbeza. Itu hanya boleh kita pelajari apabila bertemu dengan rakan serta berkongsi mengenainya,” katanya mampu memanah menggunakan busur kompaun mahupun melengkung.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Noah Hakem Azren berkata, dia menyertai aktiviti berkenaan sejak tamat peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menggunakan busur milik kakaknya.

“Saya mula memanah ketika usia 12 tahun dengan menggunakan busur serta anak panah milik kakak. Bapa belikan untuk kakak pada mulanya tetapi dia mula hilang minat tidak lama kemudian.

“Berbeza pula situasinya dengan saya. Makin lama saya memanah makin ralit pula. Saya mengikuti ayah memanah saban minggu bersama temannya di sini. Mereka tidak lokek berkongsi teknik serta aksesori baru berkaitan alat memanah.

“Saya mula memanah dengan cabaran jarak 10 meter dan kini sudah mampu memanah pada jarak 20 meter dan 30 meter. Kini saya ingin tingkatkan tahap ketepatan memanah agar sasaran serta mata diperoleh tinggi,” katanya tidak kekok memanah dengan ahli lebih dewasa.

Selain pemanah muda, Sabre Archery mendapat perhatian pemanah senior seperti Cheam Low Soo.

“Saya memanah sejak tiga tahun lalu untuk memenuhi minat zaman kanak-kanak. Sukan ini selain dapat mengisi masa terluang dalam sudut lain, ia membantu saya kekal cergas.

“Saya tidak perlu ke pusat kecergasan selain sukan ini menjadikan minda kekal muda kerana memanah menekankan kekuatan mental untuk mendapat bidikan tepat,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Sabre Archery Lawrence Law berkata, komunitinya berhasrat menyokong perkembangan sukan berkenaan bukan saja di Bukit Jelutong, malah Selangor mahupun peringkat kebangsaan.

“Kami mempunyai pelbagai latar belakang pemanah baik dalam disiplin ‘recurve’, kompoun mahupun tradisional. Boleh dikatakan keahlian kami bukan saja sekitar Bukit Jelutong, malah sekitar Selangor. Kami mempunyai pemain mahir mahupun profesional selalu menyertai pertandingan malah ada dalam kalangan ahli semuda usia 10 tahun sudah pandai memanah.

“Prospek mengenai potensi ahli komuniti ini sendiri memberi gambaran masa depan sukan itu cukup baik. Kami turut mengadakan pertandingan antara ahli dalam usaha meningkatkan kualiti pemain dan juga pertandingan antara kelab.

“Untuk itu kami menyimpan hasrat ada sokongan daripada pihak Majlis Sukan Negeri, mahupun kementerian berkenaan menyokong usaha perkembangan komuniti kami pula. Antara harapan kami ialah mempunyai pusat latihan sesuai dan selesa.

“Ketika ini kami menumpang kawasan pemaju. Itu sebenarnya program jangka masa panjang Sabre Archery iaitu memiliki pusat latihan sendiri dan jika ada agensi mahupun pihak bersesuaian berhasrat menyokong ke arah itu kami alu-alukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2017 @ 5:03 AM