AKSI sebahagian peserta memanah di pekarangan Masjid Jamek Jelutong, baru-baru ini.
AKSI sebahagian peserta memanah di pekarangan Masjid Jamek Jelutong, baru-baru ini.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar


Georgetown: Pemanah Kelab Memanah Sunnah Kelantan, Mohd Hafizi Awang muncul juara kategori lelaki terbuka Pertandingan Memanah Mahabbah yang berlangsung di pekarangan Masjid Jamek Jelutong, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan Hafizi yang mencatat 93 mata menerima hadiah tujuh anak panah bernilai RM385, tengkolok berharga RM200, cenderahati dan sijil penyertaan disampaikan Presiden Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia Akhmal Dahalan.

Naib juara milik Dr Sharani Ibrahim dari Gabungan Pemanah Islam Perak yang menerima lima anak panah bernilai RM125, tengkolok RM150, cenderahati dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga disandang Luthfe Firdaus dari Ladang Alam Warisan Negeri Sembilan menerima empat anak panah bernilai RM100, tengkolok RM150, cenderahati serta sijil penyertaan.

Kategori terbuka wanita menyaksikan Masnah Mohamad Ramli dari Ladang Alam Warisan Negeri Sembilan muncul juara selepas mencatatkan 87 mata sekali gus menerima sarung anak panah bernilai RM500, cenderahati serta sijil penyertaan.

Naib juara milik Nur Syamimi Kamaruddin dari Gabungan Pemanah Islam Perak menerima lima anak panah bernilai RM125, cenderahati dan sijil penyertaan manakala Yusnita Yusoff dari Kelab Zulfaqor ketiga dengan empat anak panah bernilai RM100, cenderahati serta sijil penyertaan.

Muhammad Anas Mohd Hafizi juga dari Kelab Memanah Sunnah Kelantan, muncul juara kategori bawah 15 tahun selepas mencatatkan 131 mata sekali gus menerima hadiah sarung anak panah bernilai RM400, cenderahati dan sijil penyertaan.

Naib juara milik pemanah Kelab Memanah Darul Aman, Asraf Sharizal yang menerima lima anak panah bernilai RM125, cenderahati dan sijil penyertaan. Tempat ketiga disandang Nur Athirah Nabilah Amran dari Gabungan Pemanah Islam Perak menerima empat anak panah bernilai RM100, cenderahati dan sijil penyertaan.

Pengerusi penganjur Muhd Haizan Abdul Razak berkata, pertandingan julung kali itu dianjurkan Kelab Memanah Masjid Jelutong (MJAC) dengan kerjasama Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (PERTAMA).

Sambutan luar dugaan apabila 100 peserta mewakili pelbagai pasukan dari seluruh negara tampil menunjukkan kehebatan masing-masing.

“Pertandingan memanah tradisional ini dibahagikan kepada tiga kategori bertujuan mempromosikan sukan memanah dalam kalangan remaja Islam di negeri ini,” katanya.

Haizan yang juga Setiausaha Masjid Jamek Jelutong berkata, kelab itu hanya mengenakan bayaran RM100 untuk pendaftaran. Peserta dibekalkan sehelai baju-t dan lima anak panah serta diberi peluang menggunakan busur dalam sesi latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:06 AM