PROSES optimasi ujian real time RT-PCR untuk 2019-nCoV. FOTO blog Ketua Pengarah Kesihatan
PROSES optimasi ujian real time RT-PCR untuk 2019-nCoV. FOTO blog Ketua Pengarah Kesihatan
Amir Abd Hamid


PEGAWAI dan kakitangan Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja bertungkus-lumus 24 jam dalam menghadapi kejadian jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) yang mula menular di negara ini tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, usaha gigih itu bagi memastikan kesihatan awam dan keselamatan negara terpelihara.

Beliau berkata, pada peringkat awal, Unit Virologi, Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) KKM adalah makmal tunggal dalam menjalankan ujian diagnostik mengesan 2019-nCoV di negara ini.

“Makmal ini memulakan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan penularan 2019-nCoV ke Malaysia pada 3 Januari di mana reagen (bahan uji) untuk mengesan koronavirus dengan menggunakan kaedah Conventional RT-PCR sudah disediakan.

“Namun pada 11 Januari, ahli saintis dari China berkongsi maklumat genetik 2019-nCoV di pangkalan data gunasama.

“Ini membolehkan pegawai Unit Virologi IMR merekacipta urutan reagen yang dikenali sebagai ‘primers and probes specific for 2019-nCoV’ pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, beberapa hari kemudian, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengeluarkan protokol untuk ujian ‘real time’ RT-PCR 2019-nCoV dan protokol ini hampir sama seperti yang digunakan di IMR.

Menurutnya, reagen untuk mengenalpasti 2019-nCoV tiba ke makmal di IMR pada 21 Januari dan pada masa sama, pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkongsi virus tergolong keluarga sama dengan 2019-nCoV nyahaktif, untuk digunakan sebagai kawalan positif.

“Pegawai IMR berjaya menjalankan optimasi ujian ‘real time’ RT-PCR 2019-nCoV pada 22 Januari.

“Reagen ini sudah dibekalkan kepada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh pada 24 Januari untuk menguji sampel di Johor yang membolehkan pengenalpastian kes pertama positif di kalangan kontak rapat.

“Pada 25 Januari, makmal IMR juga mengesan kes pertama positif di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, pada 30 Januari IMR juga menjalankan latihan ujian real time RT-PCR 2019-nCoV untuk 12 hospital KKM serta MKAK Sungai Buloh, MKA Ipoh, MKA Kota Kinabalu, MKA Kota Bahru dan MKA Johor Bahru agar kapasiti membuat ujian real time RT-PCR 2019-nCoV dipertingkatkan ke seluruh Malaysia.

Kapasiti ini juga, katanya, diperluaskan bagi rangkaian makmal swasta melalui latihan berkaitan diadakan MKAK Sungai Buloh, 6 Februari.

“Setiap hari (termasuk cuti umum) staf yang dalam panggilan (on call) akan bersedia menerima sampel dari hospital seawal 7 pagi dan akan meneruskan ujian supaya keputusan dapat dikeluarkan dalam masa 24 jam.

“Namun begitu, kebanyakan keputusan ujian ini berjaya disiapkan lebih awal dari tempoh 24 jam itu.

“Staf hanya dibenarkan menjalankan ujian selepas menjalani ujian kompetensi dan dilatih cara pemakaian Personal Protective Equipment (PPE) dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, secara ringkas staf akan menerima sampel dan merekodkan penerimaan sampel dalam buku log.

Beliau berkata, seterusnya sampel dibawa ke makmal Biosafety Level 2 (BSL2) di mana staf yang memakai PPE akan memproses serta mengasingkan sedikit sampel klinikal untuk nyahaktif virus dan diteruskan dengan ujian real time RT-PCR 2019-nCoV.

“Syabas dan tahniah kepada semua petugas di sebalik tabir di IMR, semua MKA dan makmal-makmal hospital yang bertungkus lumus siang-malam dalam menghadapi kejadian jangkitan 2019-nCoV ini.

“Anda adalah wira yang tidak didendang melaksanakan tugas walaupun seringkali tidak jelas di mata masyarakat demi memastikan kesihatan awam dan keselamatan negara terpelihara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 12:54 PM