MOHAMED Azmin bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS dan Gabungan Anak Syarikat PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). FOTO Saddam Yusoff
MOHAMED Azmin bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS dan Gabungan Anak Syarikat PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). FOTO Saddam Yusoff
Siraj Mohd Zaini


“SAYA mengenali (Haziq Aziz) dari jauh sebab dia ahli parti. Kemudian menyertai pembangkang, selepas kita menang, lompat balik dalam Keadilan (PKR).

“Ini karektor individu yang diperalatkan dalam fitnah ini,” kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, laporan polis sudah dibuat Setiausaha Politiknya dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan selanjutnya.

“Laporan polis sudah dibuat pada pagi ini, dan berdasarkan pandangan peguam-peguam saya, dengan laporan sedia ada sudah boleh polis jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menempelak tindakan pemimpin yang berbeza pendapat atau tidak berjaya memberi khidmat terbaik kepada rakyat menggunakan jalan kotor dan jijik.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan baharu seharusnya berpegang kepada politik nilai dan prinsip yang jelas.

"Teguran PM (Perdana Menteri) ini satu teguran yang serius dan harus diberikan perhatian semua pihak khususnya pimpinan parti kerana sekarang rakyat nak kerajaan dapat selesaikan kos sara hidup dan pelaburan negara.

“Saya dalam kapasiti kecil terhadap mendukung penuh kepimpinan PM untuk pastikan pelaburan dalam negara terus ditingkatkan," katanya.

Malam tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media selepas program Malam Sejuta Kenangan anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan penyebaran video itu dilakukan individu yang mempunyai agenda politik.

Perdana Menteri berkata, jika tidak boleh melawan seseorang, jangan buat kerja kotor iaitu melakukan pelbagai kaedah berunsurkan dendam termasuk menyebarkan video berkenaan.

Kelmarin, negara digemparkan dengan penyebaran video lucah yang didakwa mirip Mohamed Azmin bersama seorang lelaki di sebuah bilik hotel.

Haziq Aziz menerusi hantaran di Facebook awal pagi semalam mengaku dia individu bersama lelaki yang didakwa mirip Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin bagaimanapun menafikan pembabitannya dalam video berkenaan sambil menganggap ia tuduhan jahat dan kejam.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Biro Politik memaklumkan kedudukan Mohamed Azmin sebagai Timbalan Presiden parti itu kekal dan menyerahkan siasatan lanjut kepada polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 3:41 PM