FISIOTERAPI kini jadi rawatan pemulihan Rahimi di New Zealand.
FISIOTERAPI kini jadi rawatan pemulihan Rahimi di New Zealand.
Suraya Roslan


WALAUPUN dirinya kini kurang sempurna berikutan kakinya masih tidak dapat bergerak, Rahimi Ahmad sudah memaafkan lelaki yang menembaknya di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu.

Kaki kanan jurutera robotik berusia 39 tahun itu terjejas selepas terkena tembakan di perut dalam tragedi meragut 50 nyawa itu dan kini masih dirawat di Hospital Burwood, New Zealand.

Rahimi berkata, kesan tembakan itu menyebabkan kaki kanannya seperti dicucuk jarum dan seperti terkena simbahan air panas.

“Saya ditembak di perut, tapi peluru pergi sampai ke tulang belakang dan pecah dalam badan hingga serpihan mengganggu sistem saraf termasuk kaki.

“Kini saya menjalani rawatan fisioterapi supaya dapat bergerak semula sekurang-kurangnya dapat memakai tongkat,” katanya.

Katanya, dia ditempatkan di wad tulang belakang Hospital Burwood Khamis lalu untuk menjalani rawatan fisioterapi.

“Saya tidak pasti berapa lama di sini, mungkin sehingga saya mampu berjalan menggunakan tongkat, apabila ditanya kepada pakar, mereka pun tidak dapat menjawab.

“Ketika ini kaki kanan saya seperti dicucuk jarum, disimbah air panas, malah terasa kedudukan jari tengah berada di tepi, kaki pijak lantai tapi rasa tapak kaki di atas berikutan maklumat otak dan saraf tidak bertindak balas dan kaki kiri masih kebas hingga sekarang,” katanya.

Menceritakan tragedi hampir meragut nyawanya, Rahimi berkata, dia menerima ketentuan qada dan qadar Allah SWT yang memilihnya di antara puluhan ribu umat Islam yang berada di New Zealand untuk menjadi mangsa serangan itu.

“Saya tidak berdendam atau rasa nak marah malah memaafkan perbuatan lelaki itu, cuma perbuatan dia yang salah perlu dihakimi dengan betul.

“Kalau kita maafkan dan dia terlepas begitu saja, tiada gunanya, saya maafkan perbuatan dia, tetapi dia kena diadili dengan betul serta menerima hukuman setimpal atas kesalahan dilakukannya,” katanya.

Akuinya, walaupun hampir sebulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch itu berlalu namun baginya yang cedera pastinya

kejadian itu masih berlegar dalam ingatan.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dalam kejadian itu saya terselamat selepas berpura-pura mati sebaik terkena tembakan pertama di perut.

“Malah, ketika ditembak, saya meniarap dan mematikan diri manakala satu tubuh jemaah lain menghempap badan saya dan seorang lagi mengenai kaki saya.

“Selepas terkena tembakan, saya terus meniarap dan tidak mengangkat kepala langsung serta hanya mendiamkan diri dan berzikir. Saya dapat mendengar jemaah yang mengerang kesakitan ditembak lagi sehingga mati,” katanya.

Mengimbau tragedi itu, Rahimi berkata, tembakan berlaku ketika pertengahan khutbah jam 1.30 tengah hari.

“Saya dan anak, Ahmad Razif, 11, tiba di masjid sebelum azan, selalunya kami duduk depan mimbar, tetapi tidak tahu kenapa hari kejadian saya duduk di tepi dinding dekat pintu keluar.

“Ketika mendengar khutbah, semua jemaah mendengar bunyi bising disangka bunga api membuatkan semua orang tercengang.

“Ketika itu kami mendengar orang menjerit ‘run (lari) dan shooter (penembak), semua masa itu nak lari dan ketika itu saya hilang Ahmad Razif daripada pegangan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sedar bagaimana anaknya ditarik keluar daripada masjid.

“Saya sudah gelabah anak saya di mana, jadi bila penembak tiba di tengah ruang utama solat, dia terus tembak saya di perut lalu saya terus meniarap atas lantai serta mematikan diri.

“Selepas menembak semua jemaah, penembak berlegar di ruang utama untuk kali kedua dan menembak semua jemaah sekali lagi untuk memastikan semua sudah mati namun saya bernasib baik kerana terlindung di bawah satu mayat.

“Saya dapat rasakan mayat menimpa saya bergegar selepas terkena tembakan kali kedua manakala saya dengar pengganas menjerit bertanya di mana ruangan solat wanita berulang kali,” katanya.

Katanya, seingatnya dia terdengar dua kali tembakan dalam ruang utama solat dan tidak pasti berapa kali di luar masjid.

“Apa boleh saya katakan, pengganas memang berniat mahu membunuh kami sebelum beredar pergi.

“Hampir 15 minit saya mematikan diri selepas mahu memastikan pengganas betul-betul meninggalkan masjid, saya alihkan mayat di atas badan dan mula merasakan kaki kebas malah tulang seperti terkulai,” katanya.

Dia yang sudah berada di New Zealand sejak 2014 apabila mengikut isterinya, Norazila Abdul Wahid menyambung pelajaran berkata, selepas kejadian, dia lega apabila pasukan polis tiba jam 2 petang.

“Namun saya masih risau keadaan anak, walaupun dibawa atas pengusung oleh paramedik saya masih memikirkan keadaan anak.

“Polis bertanya di mana lagi masjid terdekat, saya terlupa ada satu masjid di Linwood berikutan jauh dari rumah, saya hanya memberitahu polis satu lagi masjid di Universiti Canterbury sebelum mereka menghubungi pasukan lain,” katanya.

Ditanya nasib anak lelakinya, Rahimi berkata, kejadian itu menjadi tanda tanya buat dirinya apabila anak lelakinya hilang sepantas kilat.

“Sehingga kini saya tak tahu siapa menarik tangan anak dan membantunya melompat keluar daripada tembok masjid setinggi enam kaki.

“Saya kerap membawa anak ke masjid pada waktu solat lain, dia juga tidak mengenali siapa menyelamatkannya, siapa pun orang itu saya berterima kasih kepadanya kerana menyelamatkan anak saya,” katanya.

Akuinya, hanya dua perkara yang berlegar dalam fikirannya ketika kejadian itu sama ada dia terus hidup dan di mana anaknya.

“Alhamdulillah saya pulih daripada trauma.

“Itu saja yang boleh saya imbas, banyak waktu lain saya hanya meniarap dan mendiamkan diri,” katanya.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripadanya dan menasihatkannya supaya tidak melihat video tembakan yang sudah tular itu.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kami,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.40 petang, Rahimi antara tiga rakyat Malaysia yang cedera manakala seorang remaja, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, disahkan terkorban bersama 50 lagi mangsa dalam serangan pengganas menembak jemaah secara membuta-tuli di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch pada 15 Mac lalu ketika umat Islam sedang menunggu untuk solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 6:01 AM