Hadzlihady Hassan


MAYAT seorang lelaki ditemui dengan kesan tiga tikaman di perut dan kelar di leher dalam longkang di Mak Mandin, Butterworth, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mayat mangsa Ong Mok Hoe, 48, ditemui dalam keadaan terlentang oleh orang ramai dalam longkang sebelum mereka menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati mangsa dilihat ahli keluarga keluar rumah di Taman Kenanga, Butterworth, pada 3 pagi tadi.

Menurutnya, hasil keterangan daripada ahli keluarga, mangsa yang bekerja sambilan di Pasar Apollo, Jalan Raja Uda, Butterworth keluar rumah untuk ke tempat kerjanya.

“Mangsa masih bujang dan pemeriksaan mendapati dia mempunyai rekod penyakit sawan.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati dompet mangsa serta wang ada bersamanya. Setakat ini, kita belum mengetahui motif kejadian,” katanya yang ditemui di lokasi berkenaan.

Noorzainy berkata, polis juga belum menemui sebarang senjata di lokasi dan meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tampil memberi maklumat.

“Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 3:26 PM
ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat mangsa (gambar kecil) di Mak Mandin, Butterworth, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat mangsa (gambar kecil) di Mak Mandin, Butterworth, hari ini. FOTO Ihsan PDRM