POLIS merampas wang syiling, wang kertas Indonesia, sebuah telefon bimbit, sebatang besi pembuka skru, sebatang spanar dan sebatang besi panjang tajam dihujung dalam kejadian kes pecah rumah di Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang. FOTO IHSAN PDRM
POLIS merampas wang syiling, wang kertas Indonesia, sebuah telefon bimbit, sebatang besi pembuka skru, sebatang spanar dan sebatang besi panjang tajam dihujung dalam kejadian kes pecah rumah di Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang. FOTO IHSAN PDRM
Shamsul Munir Safini


LELAKI ditahan selepas memecah masuk sebuah asrama pekerja wanita Indonesia dan mencederakan seorang pekerja di Mak Mandin, Butterworth, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, kehadiran suspek berusia 30-an yang cuba mengambil sebuah telefon bimbit pekerja disedari mangsa yang terjaga daripada tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara,Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek terus menampar dan menolak kepala mangsa ke besi katil beberapa kali.

“Mangsa kemudian menjerit meminta bantuan daripada rakan serumah sebelum suspek keluar melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan umpil pada pintu jeriji besi utama rumah berkenaan.

Katanya, mangsa mengecam wajah suspek kerana sempat melihat wajahnya walaupun dia memakai topi keledar kerana visornya dibuka semasa kejadian.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah berkaitan kes dadah dan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 4:07 PM