GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


SEORANG tahanan reman mengadu dirinya diliwat rakan tahanan lain ketika berada di lokap Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dekat Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 4.07 petang itu, mangsa berusia 22 tahun dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian menimpanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, polis akan menjalankan koordinasi dengan pihak AADK untuk membuat tangkapan terhadap suspek apabila reman suspek di atas kesalahan kes dadah selesai.

“Mangsa memberitahu suspek yang meliwatnya sedang menjalani tahanan reman atas kesalahan dadah.

“Oleh itu, buat sementara waktu, polis mengarahkan supaya suspek diasingkan sel daripada semua tahanan sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ini adalah kes liwat ketiga dilaporkan berlaku di Pulau Pinang sejak minggu lalu.

Kes pertama membabitkan seorang pengetua sekolah berusia 55 tahun yang didakwa meliwat dua murid berusia 11 dan 13 tahun.

Manakala kes kedua pula berlaku ke atas seorang remaja berusia 16 tahun yang melaporkan dirinya diliwat seorang pelajar Tingkatan Dua di tandas pusat sukan dekat Mak Mandin, Butterworth, Julai lalu.

Bagaimanapun, mangsa baharu melaporkan perkara berkenaan Selasa lalu selepas video liwatnya tular di laman sosial.

Noorzainy berkata, ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 8:37 PM