GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Bau busuk dari sebuah rumah membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas yang hidup berseorangan di Flat Taman Mesra Mak Mandin, di sini, semalam.

Kejadian disedari pada jam 8.30 pagi sebelum pemeriksaan menemui mayat Yeoh Ah Hock, 67, dalam keadaan sudah reput dipercayai meninggal dunia lebih empat hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis dimaklumkan mengenai mayat yang ditemui di lantai di dapur.

"Ketika pemeriksaan didapati kipas angin di ruang tamu rumah yang disewa si mati juga masih hidup dan berputar.

"Pemeriksaan lanjut ke atas mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, hasil temu bual bersama anak lelaki mangsa berusia 38 tahun mendapati bapanya tinggal di rumah itu bersendirian selepas kematian ibunya tiga tahun lalu.

"Si mati dikatakan menghidap darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung sejak 10 tahun lalu. "Kali terakhir dia melihat si mati adalah pada minggu lalu sebelum mengetahui kematian bapanya melalui jiran," katanya.

Mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini bagi proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 8:30 PM