Hadzlihady Hassan


AKIBAT dituduh melanggar kucing, seorang lelaki dibelasah sekumpulan lima lelaki dalam kejadian di Rumah Pangsa Hijau, Mak Mandin, Butterworth, malam tadi.

Kejadian berlaku pada 10.15 malam itu menyebabkan mangsa berusia 32 tahun ditahan di wad Hospital Seberang Jaya (HSJ), namun bukan kerana kecederaan dipukul, tetapi akibat tekanan darah tinggi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa ketika itu menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumahnya di flat terbabit.

“Mangsa didatangi 12 lelaki tidak dikenali yang menuduhnya melanggar seekor kucing ketika sedang menunggang motosikal di kawasan terbabit 6 petang semalam.

“€œBagaimanapun, mangsa menafikan tuduhan terbabit dan lima lelaki kemudian terus memukulnya menggunakan topi keledar dan tangan,” katanya.

Noorzainy berkata, hasil keterangan awal, mangsa mendakwa dia tidak mengenali semua lelaki terbabit dan memberitahu hanya lima lelaki memukulnya manakala selebihnya hanya berada berhampiran tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa mendapatkan rawatan di HSJ dan doktor mengesahkan dia tidak cedera atau tiada kesan dihentak objek di kepala serta badan.

“Bagaimanapun, doktor mendapati mangsa mengalami tekanan darah tinggi dan kemungkinan ditahan di wad untuk rawatan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan.

“€œKes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 6:57 PM