MOHD Azrul  bersama van terpakai yang diubah suai.
MOHD Azrul bersama van terpakai yang diubah suai.
Mohd Sharumnisham Shahbudin

Alor Setar: Sukarelawan Kindness Malaysia Kedah mengubah suai van terpakai menjadi kediaman bergerak khas buat gelandangan kerana prihatin dengan keselamatan dan kebajikan mereka.

Ketua projek ‘Home 4 Homeless’ Mohd Azrul Abd Razak berkata, idea itu timbul hasil program pemberian makanan kepada golongan tidak berumah ini dan lawatannya ke Amerika Syarikat, baru-baru ini.

“Mereka terutamanya yang berkeluarga dan mempunyai anak kecil terdedah dengan bahaya seperti gangguan binatang liar seperti anjing.

“Secara tidak langsung, projek ini diharap dapat membantu pihak berkuasa menangani gejala ini kerana memberi pandangan dan suasana tidak elok kepada masyarakat,” katanya ditemui di bengkelnya di Kuala Sungai, semalam.

Katanya, untuk membina rumah semestinya memerlukan kos tinggi dan isu utama adalah mencari tapak kediaman terutama di bandar raya.

Dia yang juga Timbalan Pengerusi Kindness Malaysia membeli sebuah van terpakai berharga RM7,000 pada Februari lalu sebagai alternatif.

“RM2,000 diperoleh daripada dana Kindness dan sumbangan orang ramai digunakan untuk mengubah suai dan melengkapi van dengan perabot selain peralatan seperti sebuah camper van.

“Mujurlah kerja ini dilakukan sendiri dibantu dua sukarelawan, Shahrul Nizam Samdan dan Mohd Hasrul Afandi. Ia membantu mengurangkan kos,” katanya.

SUKARELAWAN membuat kerja pengubahsuaian.
SUKARELAWAN membuat kerja pengubahsuaian.

Menurutnya, perabot dalam van berkenaan dibina secara mudah alih bagi mempelbagaikan kegunaannya seperti berniaga waktu siang dan menjadi tempat tinggal pada waktu malam.

Berkaitan pemilihan bakal pemilik van, Mohd Azrul berkata, Kindness akan merujuk gelandangan tersenarai kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan mereka bebas daripada jenayah selain berdaftar dengan JKM.

Mohd Azrul mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi mengembangkan lagi projek itu terutama jika ada yang mempunyai van terpakai untuk dijual pada harga rendah.

Bagi yang ingin menyumbang dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Kindness Malaysia Kedah di talian 012-4227690.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 11:51 AM