PIHAK berkuasa Australia menemui jenazah Rizq Azzadin yang  lemas di Sungai Colo, Sydney, Australia, Ahad lalu.
PIHAK berkuasa Australia menemui jenazah Rizq Azzadin yang lemas di Sungai Colo, Sydney, Australia, Ahad lalu.
Suraya Roslan


KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, atas usaha rakan anak, komuniti Islam dan Mat Salih di sana, jumlah wang terkumpul untuk membawa pulang jenazah Rizq Azzadin mencapai sasaran.

“Terima kasih kepada semua yang menderma terutama rakyat Malaysia. Hanya Allah dapat membalasnya dan saya reda dengan pemergian anak sulung kerana Allah lebih menyayanginya,” kata Rokiah Hashim, 63, ibu kepada rakyat Malaysia, Rizq Azzadin Mohd Azhar, 32, yang lemas di Sungai Colo, Sydney, Australia, Ahad lalu.

Difahamkan, anak sulung daripada empat beradik itu dilaporkan berenang bersama dua yang lain berdekatan Jambatan Putty Road sebelum tiba-tiba hilang dari permukaan sungai jam 11.50 pagi, waktu tempatan.

Rokiah berkata, suaminya, Mohd Azhar Yahya, 58, dan anak perempuan, Rizq Nadira, 28, bertolak ke sana jam 9 malam tadi untuk menguruskan jenazah Rizq Azzadin.

Semalam, dia meminta pertolongan rakyat Malaysia bagi membolehkan mereka mengumpulkan wang RM30,000 untuk membawa balik jenazah Rizq Azzadin.

RIZQ Azzadin (kiri) bersama  Rizq Adam yang bekerja di Australia.
RIZQ Azzadin (kiri) bersama Rizq Adam yang bekerja di Australia.

“Berkat pertolongan rakan anak, komuniti Islam, warga Australia dan bantuan saudara-mara serta rakan, jumlah wang terkumpul melebihi RM30,000 dan jenazah anak dijangka dibawa pulang ke Malaysia sebaik selesai bedah siasat dianggarkan sehari dua lagi.

“Ketika ini urusan bedah siasat ditangguhkan kerana memerlukan kehadiran dan persetujuan waris terlebih dulu. Oleh sebab itu, suami ke sana malam ini (malam tadi) bagi menyelesaikan perkara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga memilih mengebumikan anaknya di Malaysia kerana kos pengebumian di Australia mencecah RM40,000 manakala kos membawa pulang jenazah RM30,000.

“Biarlah Rizq Azzadin dikebumikan di Malaysia, saya berharap jenazahnya dipermudahkan dan kami dapat selalu menziarahi kuburnya,” katanya.

Rokiah berkata, arwah Rizq Azzadin ke Australia bersama seorang lagi anaknya, Rizq Adam, 25, yang bekerja kontrak di sana selepas Aidilfitri lalu.

“Kali terakhir saya menghubungi arwah anak pada Sabtu lalu tetapi panggilan dijawab oleh Adam yang memaklumkan mereka baru balik dari kerja dan agak penat.

“Saya tidak dapat cakap dengan arwah. Bagaimanapun kira-kira jam 1 tengah hari, Ahad lalu, saya dapat berita ini daripada seorang rakan kepada Adam yang menghubungi memaklumkan Rizq Azzadin meninggal dunia akibat lemas.

“Adam tidak mampu bercakap mungkin masih terkejut dengan kejadian itu,” katanya.

Jenazah Rizq Azzadin dijadualkan dikebumikan di Kampung Selamat, Sungai Buloh, Selangor sebaik tiba di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Disember 2018 @ 7:00 AM