Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Hasrat seorang bapa yang bekerja sebagai pemetik buah di Perth, Australia untuk pulang bertemu dengan isteri serta empat anaknya hujung tahun ini tidak kesampaian apabila lelaki berusia 53 tahun itu meninggal dunia, kelmarin.

Allahyarham Abd Rahim Ariffin, 53, meninggal dunia selepas terjatuh di bilik air dan berita sedih itu disampaikan kepada keluarga oleh seorang rakannya yang bekerja di sana.

Bagaimanapun, keluarganya menghadapi kesukaran untuk menguruskan pengebumian arwah memandangkan kos pengurusan jenazah di Australia berjumlah kira-kira RM30,000.

Adik arwah, Tamisa Ariffin, 33, berkata keluarganya mengetahui berita sedih itu kira-kira jam 4 pagi waktu Malaysia selepas dihubungi oleh rakan abangnya.

“Pada malam sebelum kejadian, arwah sempat menghubungi kami sekeluarga menerusi panggilan video dan mengucapkan selamat hari raya kepada semua terutama isteri serta empat anaknya.

“Kami benar-benar tidak menyangka kerana arwah tidak pernah mengadu sakit atau menghidapi sebarang penyakit. Namun, ini takdir Tuhan dan kami reda menerimanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tamisa serta keluarganya melancarkan tabung sumbangan untuk pembiayaan pengurusan jenazah arwah dan orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh melakukan transaksi di akaun Maybank milik isterinya, Hasnah Abu Hassan, 102036737932.

Menurutnya, keluarganya amat mengharapkan ihsan rakyat negara ini supaya proses urusan jenazah dapat dilakukan dengan segera.

“Tambah menyedihkan apabila anak bongsunya yang berusia lapan tahun merayu untuk melihat arwah bapanya buat kali terakhir.

“Kami sekeluarga tidak mempunyai dana kewangan yang banyak, hanya mengharapkan ihsan serta simpati rak- yat negara ini.

“Arwah sudah bekerja sebagai pemetik buah di Australia sejak setahun yang lalu dan merancang untuk pulang ke Malaysia hujung tahun ini.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada sesiapa yang menghulurkan bantuan dan hanya Allah saja yang mampu membalasnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 10:55 AM