MOHD Sani yang lumpuh separuh badan dibantu anak-anaknya membuat senaman ringan di Taman Kipark Puchong. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
MOHD Sani yang lumpuh separuh badan dibantu anak-anaknya membuat senaman ringan di Taman Kipark Puchong. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Suraya Roslan

Puchong: Bagi kanak-kanak berusia tiga tahun apalah yang diketahui apabila tiba-tiba kehilangan ibu tercinta ketika masih menyusu badan.

Namun kanak-kanak ini, Muhammad Rayyan Mohd Sani, 3, memahami keadaan itu apabila setiap kali perihal ibunya ditanya, jawapannya sama iaitu ‘mama dalam tanah’ kerana dia menyaksikan orang kesayangannya dikebumikan.

Kini kakaknya, Nur Dania Afiqah Mohd Sani, 18, mengambil tanggungjawab sebagai ibu dan mengorbankan masa depannya dengan berhenti belajar demi menjaga adik bongsunya dan bapa.

Semua kemanisan hidup mereka diragut sekelip mata selepas keluarga itu terbabit kemalangan apabila kereta dinaiki Muhammad Rayyan, Nur Dania Afiqah bersama arwah ibu, Jamaliah Saadan, 46, serta bapa, Mohd Sani Mat Rasid, 46, dan dipandu abangnya, Muhammad Affiq, 21, dilanggar dari belakang di Kilometer 245.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Sungai Perak, 4 Ogos lalu.

Kemalangan jam 2 pagi itu menyebabkan Jamaliah terkorban, Mohd Sani lumpuh daripada pinggang ke bawah manakala Muhammad Rayyan patah pangkal paha.

Lebih menyedihkan, ketika kejadian mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Puchong, Selangor ke Trong, Taiping, Perak untuk mengucup jenazah ibu Mohd Sani yang meninggal dunia akibat kencing manis.

Mengimbas kembali tragedi malang itu, Mohd Sani berkata, dia menukar pemanduan bersama anak keduanya, Muhammad Affiq di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah kerana terlampau mengantuk.

NUR Dania menggalas tugas arwah ibunya menjaga Muhammad Rayyan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
NUR Dania menggalas tugas arwah ibunya menjaga Muhammad Rayyan. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

“Saya kemudian beralih ke tempat duduk belakang dan tidur sebelum tersedar sudah kemalangan. Saya bukan saja tidak sempat mengucup jenazah arwah ibu, malah kehilangan arwah isteri yang mengalami pendarahan teruk selepas tiga hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping akibat kemalangan itu.

“Hidup kami yang dulunya cukup bahagia bertukar suram selepas ketiadaan arwah isteri, malah anak ketiga saya, Nur Dania Afiqah terpaksa berhenti belajar tingkatan enam demi menjaga saya yang sudah tidak mampu bergerak.

“Lebih membuatkan saya sedih, Muhammad Rayyan belum bercerai susu badan dengan arwah dan setiap kali bangun tidur akan mencari mamanya,” katanya yang bekerja sebagai pemandu Grab.

Katanya, kini punca pendapatan keluarga mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada dua anak lelaki, Muhammad Danial, 23, dan Muhammad Affiq dengan gaji tidak seberapa.

“Saya buntu ketika ini mahu menanggung keluarga dengan keadaan diri tidak dapat bergerak dan mengharapkan dua anak lelaki menyara kami.

“Banyak yang perlu mereka korbankan apabila perbelanjaan perubatan untuk saya dan Rayyan cukup besar selain sewa rumah RM1,000 juga membebankan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank 1627 7727 9029 atas nama Muhammad Danial dan CIMB Bank 7057343514 Muhammad Affiq.

GAMBAR Mohd Sani bersama arwah isterinya ketika menunaikan umrah. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
GAMBAR Mohd Sani bersama arwah isterinya ketika menunaikan umrah. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Bagi Nur Dania Afiqah, dia mengakui walaupun berat hati untuk berhenti belajar, dia terpaksa kerana tiada pilihan lain dalam hidup mereka selain melakukan pengorbanan itu.

“Sebaik arwah mama meninggal, Rayyan sekelip mata menukar panggilan daripada Kak Chik kepada umi. Tiada siapa mengajarnya, mungkin dia faham memerlukan seseorang menggantikan mama.

“Lebih-lebih lagi, Rayyan memang rapat dengan arwah mama. Setiap kali bangun tidur dia seolah-olah trauma dan memerlukan seseorang memeluknya. Melihat keadaan ini dan perbincangan keluarga, semua pihak memutuskan lebih baik saya berhenti belajar dan menjaga ayah serta adik manakala dua abang mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:59 AM