Syaherah Mustafa


“FATIMAH sempat bercakap dengan arwah (Adam) yang dipanggil Mamaji sebelum arwah meninggal dunia,” kata Nor Ashfarina Mahamed Ismail, 36, kakak kepada chef selebriti, Mohamad Adam, 29, yang meninggal dunia hari ini.

Fatimah Omar Mukhlis adalah anak saudara arwah dan anak kecil yang popular di laman sosial Instagram dengan aksi comel bercakap dialek Kelantan walaupun membesar dan menetap di United Kingdom (UK).

Nor Ashfarina berkata, Fatimah antara lapan anak saudara yang sangat rapat dengan arwah adiknya malah hampir setiap hari mereka saling berhubung melalui telefon ataupun panggilan video.

“Fatimah sempat bercakap dengan Mamaji kesayangannya sebelum Adam menghembuskan nafas terakhir 4 pagi tadi.

“Kami terpaksa memberitahu perkara sebenar kepada Fatimah melalui telefon kerana dia masih di UK dan kami dimaklumkan Fatimah sangat sedih dengan kehilangan arwah.

“Mereka boleh dikatakan berhubung hampir 24 jam semata-mata untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita masing-masing malah arwah tidak pernah jemu melayan Fatimah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Adam atau lebih dikenali sebagai Adamidam meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman paru-paru di kediaman keluarganya di Telipot, Kota Bharu.

Jenazah disembahyangkan 150 jemaah termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan di Masjid Telipot dan selamat dikebumikan pada 11.05 pagi tadi.

Fatimah sempat bercakap dengan bapa saudaranya. FOTO Ihsan Pembaca
Fatimah sempat bercakap dengan bapa saudaranya. FOTO Ihsan Pembaca

Nor Ashfarina berkata, Fatimah dan keluarganya mungkin pulang ke Malaysia namun belum dipastikan masanya.

“Sudah pasti Fatimah terkejut dengan apa yang terjadi namun kami akan cuba menerangkan kepadanya sebaik mungkin memandangkan dia masih kecil.

“Bukan saja Fatimah, anak saudara lain turut bersedih dengan kehilangan Mamaji. Ini kehilangan besar buat mereka.

“Sebagai kakak, saya reda dengan pemergian arwah dan berharap ereka yang mengenali Adam berdoa semoga adik bongsu saya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Mamaji anak yang baik'

Chef selebriti Adamdidam meninggal dunia

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal pagi tadi. FOTO Syaherah Mustafa
Jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lemal pagi tadi. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 3:28 PM