PASANGAN pengantin baru turut merakamkan detik bersejarah bersama kuda.
PASANGAN pengantin baru turut merakamkan detik bersejarah bersama kuda.
SEORANG pekerja terlatih membantu penunggang cilik menggelilingi padang.
SEORANG pekerja terlatih membantu penunggang cilik menggelilingi padang.
KANAK-KANAK berpeluang memberi makan kepada kuda.
KANAK-KANAK berpeluang memberi makan kepada kuda.
Norsharuddin Sapian

Jika dahulu menunggang kuda dikaitkan dengan aktiviti golongan elit atau keluarga berada, namun kini ia boleh diceburi pelbagai golongan tanpa mengira pangkat atau umur.

Bagi memberi peluang kepada orang ramai membabitkan diri dalam aktiviti itu, Taiping Lake Garden Equine Park (TLGEP) di Jalan Bukit Larut, menyediakan kemudahan itu dengan bayaran serendah RM5.

Pemilik TLGEP Ahmad Fairuz Mat Som berkata, pusat itu beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan ditutup pada setiap Isnin. Pusat itu ditubuhkan enam tahun lalu sebelum dia mengambil alih operasi berkenaan, Oktober lalu.

Menurutnya, jika dahulu aktiviti pusat itu lebih kepada kegiatan sukan berkuda, kini ia turut menawarkan terapi pemulihan kepada pesakit termasuk kanak-kanak.

“Terapi berkuda atau hippotherapy aktiviti yang disarankan Islam selain daripada memanah dan berenang.

“Ia strategi rawatan integrasi terapi fizikal, cara kerja dan pertuturan menggunakan bantuan pergerakan ekuin yang membantu proses penyembuhan pesakit selebral palsy, autisme dan sindrom Down.

“Selain itu, antara penyakit yang sesuai menggunakan rawatan terapi berkuda seperti strok, masalah pembelajaran, lembam dan sebagainya.

“Terapi berkuda membantu meningkatkan keyakinan diri, meningkatkan keseimbangan badan, membantu kanak-kanak untuk lebih fokus serta mampu mengurangkan kekejangan otot,” katanya.

Menurutnya, bagi tujuan sesi rawatan pemulihan berkenaan, pihaknya menggunakan kuda yang dikendalikan petugas terlatih dari segi pengurusan dan latihan berkuda.

Ahmad Fairuz berkata, dia tidak terlintas langsung untuk menceburi bidang berkenaan berikutan sebelum ini minatnya bukan kepada binatang, malahan tidak pernah menunggang kuda.

Bagaimanapun, semuanya berubah selepas dikurniakan pasangan anak kembar lelaki berusia tiga tahun yang menghidap penyakit CP optizam serta hiperaktif.

“Berikutan itu saya terpaksa berulang-alik membawa anak dari Kuala Lumpur ke Taiping bagi menjalani sesi terapi yang banyak dipelajari menerusi pembacaan buku dan Internet.

“Selepas beberapa kali ke sana, saya ditawarkan pemilik yang mahu menjual pusat berkenaan sebelum bersetuju membelinya selepas mencagarkan rumah bagi mendapatkan pinjaman daripada bank,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini pusat berkenaan memiliki enam ekor kuda berusia antara 12 hingga 15 tahun, iaitu bekas kuda lumba sebelum dilatih petugas khas di situ.

Ahmad Fairuz berkata, bagi memberi peluang kepada semua golongan menunggang kuda, dia

berazam terus mengenakan bayaran serendah antara RM5 hingga RM10 bagi warganegara dan RM10 hingga RM15 bagi pelancong asing.

Bagaimanapun, bagi sesi terapi berkuda, bayaran dengan kadar tertentu akan dikenakan termasuk kepada mereka yang ingin mencuba beberapa lagi pakej seperti kelas menunggang kuda, penggambaran serta perkhidmatan sewa untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan.

“Saya juga merancang membeli beberapa kereta kuda bagi menambah fungsi sedia ada pusat ini

“Jika perancangan itu berjaya, pengunjung akan berpeluang menikmati keindahan Taman Tasik Taiping serta menjelajahi ke beberapa kawasan bersejarah terpilih di sekitar bandar Taiping dengan menaiki kereta kuda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 12:29 PM