AKTIVITI menunggang kuda di pantai suatu pengalaman menarik dan berbeza bagi aktiviti riadah di pantai.
AKTIVITI menunggang kuda di pantai suatu pengalaman menarik dan berbeza bagi aktiviti riadah di pantai.
Nurul Husna Mahmud


AKTIVITI rekreasi seperti menunggang kuda selalunya dikaitkan dengan sukan yang dipelopori golongan elit berdasarkan kemampuan mereka untuk memiliki dan memelihara haiwan berkenaan.

Kebiasaan aktiviti terbabit dikendalikan pusat ekuestrian tertentu yang memiliki fasiliti lengkap seperti gelanggang kuda selain jurulatih berkemahiran.

Namun, aktiviti menunggang kuda sudah boleh dilakukan ramai orang menerusi khidmat ditawarkan operator aktiviti itu di kawasan tarikan pelancongan.

Ini termasuk di lokasi tersohor seperti Pantai Klebang, Melaka apabila menunggang kuda antara aktiviti yang boleh disertai pengunjung ketika bersantai di kawasan percutian terbabit.

Mengenai Pantai Klebang pula, lokasi ini bukan saja terkenal dengan 'coconut shake', tetapi sering menjadi pilihan masyarakat setempat untuk bersantai sambil menghirup angin petang.

Kelebihan kawasan Pantai Klebang adalah lokasinya berlatarkan pantai pasir putih yang lapang. Ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah, kawasan ini dipenuhi pengunjung yang datang bersama keluarga atau kenalan untuk berkelah serta melakukan aktiviti riadah termasuk menunggang kuda.

Kedudukan kawasan itu yang hanya terletak kira-kira 10 kilometer iaitu sekitar 15 minit pemanduan dari bandar Melaka menjadikannya antara destinasi strategik untuk dikunjungi pelancong.

Menurut jurulatih sukan kuda, Nur Ariff Masri,30, aktiviti berkuda bukan sekadar sebagai riadah atau pertandingan semata-mata, sebaliknya aktiviti berkenaan turut dipelbagaikan termasuk bagi tujuan sesi fotografi.

"Bagi aktiviti menunggang kuda di Pantai Klebang, ada yang mencuba aktiviti menunggang santai (fun ride) iaitu membabitkan seorang atau dua penunggang kuda diiringi jurulatih atau operator mengelilingi kawasan pantai.

"Tidak perlu latihan tertentu sebaliknya kuda digunakan bagi aktiviti ini sudah dilatih untuk membawa pengunjung merasai pengalaman bersantai di pantai sambal menikmati bayu petang.

"Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba aktiviti menaiki kereta kuda seperti kita lihat di negara Eropah, pengalaman pengunjung menaik pedati yang dihias cantik sambil dikendalikan pengemudi berkenaan menyusuri perjalanan sejauh 400 meter sepanjang pantai.

TERDAPAT juga aktiviti menjelajah kampung dengan berkuda.
TERDAPAT juga aktiviti menjelajah kampung dengan berkuda.

"Tidak dinafikan kami juga pernah menerima permintaan daripada pasangan pengantin yang mahu merakam kenangan indah dengan kuda. Ini antara aktiviti kebiasaanya dilakukan pengunjung di pantai ini," katanya.

Kata Nur Ariff, permintaan terhadap aktiviti itu dalam kalangan pengunjung pantai sangat menggalakkan kerana antara keunikan lain ialah kuda itu sendiri jarang didapati di mana-mana kawasan tarikan lain.

"Aktiviti berkuda ini adalah 'penyeri' kawasan Pantai Klebang terutama bagi pengunjung kanak-kanak. Sudah namanya kanak-kanak secara semula jadi haiwan antara yang mampu menarik minat mereka.

"Sebenarnya aktiviti air di sini terhad kerana ia adalah kawasan pantai yang sudah ditambak. Aktiviti lain sering dilakukan pengunjung di pantai ialah berkelah atau bermain layang-layang. Kalau tidak pun pengunjung hanya melepak sambil menjamu selera di kawasan 'food truck' atau gerai makanan.

"Menerusi aktiviti berkuda ini, ada kelainan tersendiri apabila pengunjung berpeluang menimba pengalaman menunggang di kawasan berliku dan berpasir.

NUR Ariff
NUR Ariff

"Ini mencipta kenangan indah dan unik khusus buat kanak-kanak supaya lebih yakin berdepan dengan haiwan," katanya.

Sementara itu, pemilik ladang peliharaan kuda Ciboy Stable Ayer Molek, Juhairi Jaafar, 41, berkata, usaha pihaknya menawarkan aktiviti rekreasi berkuda kepada pengunjung atau orang awam dilihat satu usaha memperkenal serta mengembangkan lagi aktiviti sukan berkuda.

"Semua sedia maklum sukan berkuda adalah aktiviti sunah dan disarankan Rasululllah SAW kerana memberikan pelbagai kebaikan terhadap kesihatan serta mengasah ketajaman akal.

"Malah, mengenai aktiviti berkuda ini juga dijadikan sebagai terapi dalam membantu pesakit tertentu termasuk strok dan kanak-kanak istimewa seperti austime.

TIMBUNAN pasir menjadikan kawasan Pantai Klebang seolah-olah gurun pasir.
TIMBUNAN pasir menjadikan kawasan Pantai Klebang seolah-olah gurun pasir.

"Saya sendiri terbabit dalam sukan berkuda ini kerana minat atau hobi. Ketika masih kecil sekitar usia 10 tahun hingga sekolah menengah, saya sering bantu jaga kuda milik bapa saudara di Taman Buaya, Ayer Keroh.

"Selepas bekerja dan ada simpanan sendiri, saya gunakan untuk beli kuda. Sejak itu juga saya dapat tawaran untuk acara mengiringi pengantin bagi majlis perkahwinan sekitar Melaka sehingga kini dapat kebenaran dari kerajaan negeri untuk beroperasi di Pantai Klebang.

"Cabaran ketika pandemik apabila aktiviti riadah dan rekreasi itu terhenti kira-kira dua tahun menyebabkan kuda hanya untuk kegunaan sendiri iaitu rutin menunggang mengelilingi kawasan ladang. Ini bagi mengelak haiwan terbabit stres.

"Selain itu, rutin itu juga membantu kuda berkenaan iaitu spesies kacukan kuda Kelantan kekal selesa dengan orang ramai apabila dibuka kepada pengunjung.

"Setakat ini bagi aktiviti menunggang kuda, kami turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

"Segala peralatan bagi kegunaan aktiviti menunggang seperti helmet sentiasa disanitasi selain mengamalkan penjarakan fizikal dan mengenakan pelitup muka tidak kira jurulatih atau pengunjung sekali pun," katanya.

Tambah Juhairi lagi, tidak hanya aktiviti tunggangan santai, ada juga tunggangan 'trail' menyusuri trek lebih mencabar turut ditawarkan kepada pengunjung.

"Selain aktiviti 'fun ride,' ada juga 'trail ride' yang mana lebih mencabar. Pengunjung akan mencuba mengendali kuda dengan menaiki trek berbukit dan berpasir yang tinggi di kawasan Pantai Klebang itu sendiri.

"Aktiviti ini sebenarnya mendedahkan pengalaman tunggangan kuda yang sebenar dan teknikal kerana boleh rasa sendiri mengimbangi kuda dengan cabaran trek yang berbeza.

"Pakaian juga lebih lengkap iaitu sebaiknya mengenakan but dan helmet selain pakaian sesuai untuk aktiviti riadah," katanya.

Selain Pantai Klebang, Juhairi turut menerima permintaan dalam kalangan peminat aktiviti berkuda bagi acara menjelajah kampung dan sebagainya.

"Selain di Pantai Klebang, ada juga aktiviti menunggang kuda di kawasan gelanggang dan sekitar kampung. Biasanya saya melihat kepada permintaan pelanggan.

"Setakat ini kapasiti untuk aktiviti menunggang kuda 'trail' untuk kumpulan kecil iaitu empat hingga lima orang berdasarkan jumlah kuda ketika ini enam ekor semuanya.

"Pada saya selaku penggiat sukan itu sendiri, ini adalah usaha saya untuk memberi pengalaman dan peluang kepada pelbagai golongan merasai aktiviti berkuda," katanya lebih 20 tahun terbabit dalam mengendalikan kuda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 7:00 AM