TERAPI hippo antara kaedah pemulihan semula jadi hubungkan pesakit dengan haiwan
TERAPI hippo antara kaedah pemulihan semula jadi hubungkan pesakit dengan haiwan
Yusliza Yakimir Abd Talib


MENGGUNAKAN haiwan sebagai medium adalah antara cara rawatan pemulihan yang efektif untuk kanak-kanak berkeperluan khas bagi memulih dan merangsang perasaan atau emosi mereka. Dalam diam, takut dan resah, kanak-kanak ini sebenarnya berinteraksi bersama haiwan dengan cara sendiri tanpa kita sedari.

Terapi haiwan ini ternyata banyak memudahkan kehidupan seharian pesakit pelbagai latar belakang dan usia selain menjadi antara penyumbang besar kepada impak pemulihan dalam kalangan pesakit.

Antara haiwan yang digunakan dalam terapi ini adalah kuda. Melihat susuk tubuh kuda yang sasa, sesiapa saja akan teruja termasuk kanak-kanak berkeperluan khas ini. Malah kuda juga banyak digunakan bagi membantu pesakit kanak-kanak yang mengalami autisme, gangguan perkembangan kompleks, penyakit saraf, palsi serebrum, sindrom Down, epilepsi dan dispraksia.

Sejak beberapa dekad lalu, pakar perubatan dan terapi mengenal pasti kegunaan lain kuda lalu mendapati ia berupaya merawat pesakit menerusi kaedah dikenali terapi hippo (hippotherapy).

Terapi hippo ini adalah antara kaedah rawatan pemulihan semula jadi yang menghubungkan pesakit dengan kuda dalam persekitaran yang sihat dan tenang.

Penunggang boleh mendapat manfaat melalui interaksi dengan haiwan dan ketenangan fikiran yang hadir dengan setiap langkah tunggangan kuda. Dengan melakukan aktiviti bersama kuda, kemahiran orientasi dan imbangan badan dapat dibangunkan khusus dalam kalangan pesakit kanak-kanak.

Deria dirangsang menerusi beberapa aspek antaranya sentuhan, pergerakan dan perubahan arah yang semuanya sebahagian daripada intrinsik pembelajaran untuk menunggang kuda.

Malah banyak kajian menunjukkan trend ke arah kesan menguntungkan terapi menunggang kuda ke atas keseimbangan dan fungsi motor kasar yang boleh memberi manfaat kepada individu terhadap kekurangan mereka.

Baru-baru ini, sekumpulan kanak-kanak berkeperluan khas dari Green Apple Hippotherapy berpeluang menonjolkan bakat mereka menerusi segmen khas dalam Pertunjukan Kuda Bukit Kiara 2019 yang berlangsung selama tiga hari pada 23 hingga 25 Ogos lalu di Bukit Kiara Equestrian Resort.

ILIZA
ILIZA

Menariknya, semua kanak-kanak ini mengalami keadaan seperti autisme, palsi serebrum dan ketidakupayaan intelektual bersaing menunggang kuda sebagai sebahagian daripada acara berkenaan.

Daripada sesi terapi yang disertai di pusat itu, ia berkembang ke program lanjutan dikenali sebagai program menunggang terapeutik, apabila mereka diajar kemahiran menunggang kuda.

Ezrin Harun, 42, gembira melihat perkembangan anaknya, Elhan Moez, 10, selepas lebih dua tahun mengikuti terapi yang mengujakan itu kerana ia memberi rangsangan yang menyeluruh.

Katanya, dia mendapati Elhan yang mengalami gangguan sensitiviti menunjukkan banyak perkembangan positif. Menunggang kuda bukan saja pengalaman menyeronokkan buat anak sulungnya itu malah ia turut memberi banyak manfaat kerana tumpuan semasa menunggang kuda memberikan kesan teraputik untuk anaknya.

“Semasa didiagnosis dengan masalah itu pada usia dua tahun, saya bawa Elhan mengikuti terapi fizikal, pekerjaan dan ucapan namun seiring peningkatan usia, dia perlukan program yang lebih sesuai dengan perkembangannya.

“Pakar kanak-kanak yang merawatnya mencadangkan program terapi hippo ini dan selepas mencuba, memang Elhan sangat menyukainya malah responsif dalam semua program.

“Terapi ini membantu merangsang deria, otot dan koordinasinya. Jika sebelum ini Elhan sangat mudah terjatuh semasa bermain dengan rakan di sekolah kerana masalah gangguan sensitiviti yang dialaminya itu, tapi program itu berupaya menambah baik koordinasi dan keseimbangan tubuhnya.

“Elhan juga semakin fokus ketika belajar dan komunikasinya juga sudah semakin baik. Malah terapi ini juga amat membantu dalam menangani tingkah lakunya, tidak mudah hampa dan dia kini lebih tenang,” katanya.

Menurut Ezrin, paling penting ibu bapa perlu sentiasa peka dengan perkembangan anak sejak mereka kecil. Sekiranya anak menunjukkan keadaan luar biasa atau tidak normal, segeralah dapatkan bantuan pakar.

NOR Azlina sentiasa menyokong anaknya, Rania yang mengalami sindrom Down dalam terapi hippo.
NOR Azlina sentiasa menyokong anaknya, Rania yang mengalami sindrom Down dalam terapi hippo.

TERAPI RANGSANG DERIA

Bagi Nor Azlina Mohd Yusof, 47, awalnya dia menghantar anaknya, Rania Adani Muhammad Najib ke program terapi berkuda untuk mengurangkan berat badan anaknya yang mengalami masalah sindrom Down.

Katanya, kelas menunggang kuda konvensional dilihat kurang sesuai untuk kanak-kanak istimewa seperti Rania apatah lagi pada kelas terakhir disertai, anaknya itu tergelincir daripada kuda yang ditunggangi hingga menyebabkannya trauma dan enggan ke kelas itu lagi.

“Ada rakan memperkenalkan saya kepada program terapi hippo. Tertarik mendengar penerangannya, saya bawa Rania ke pusat ini. Memang pada mulanya dia agak takut kerana pengalaman lalu, tapi kakitangan terlatih banyak membantu menaikkan semangatnya. Bahkan mereka juga pandai untuk menarik perhatian dan menguruskan kanak-kanak berkeperluan khas ini.

“Selepas dua bulan, Rania tunjukkan perkembangan positif. Posturnya badannya semakin bagus dan boleh duduk tegak di atas kuda. Saya harap aktiviti ini boleh menjadi hobi yang disukainya dan membantunya meningkatkan stamina, fizikal dan kebolehan kognitif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Green Apple Hippotherapy, Iliza Muhammed Ikhbal berkata, banyak kajian menunjukkan terapi itu boleh membantu membangunkan fungsi motor dan deria.

Malah, ia diiktiraf di Amerika Syarikat kerana dapat membantu pesakit yang mengalami masalah disfungsi neuromuskular dengan meningkatkan kekuatan fizikal dan kebolehan kognitif sementara menjadikan ia sebagai aktiviti terapeutik.

“Ia sesuai untuk mereka yang didiagnosis dengan gangguan defisit perhatian, gangguan spektrum autisme, palsi serebrum, sindrom Down, distrofi otot dan banyak lagi.

“Terapi hippo memberikan input vestibular menyeluruh yang membantu koordinasi pergerakan mata, kepala dan badan, dengan setiap langkah kuda, sistem vestibular perlu disesuaikan sebanyak lapan kali.

“Ini penting untuk perkembangan otak. Oleh itu, perubahan besar pada kanak-kanak di pusat ini biasanya dapat dilihat selepas sesi keenam dengan satu hingga dua sesi mingguan disyorkan,” katanya.

Iliza yang juga mempunyai anak berkeperluan khas berkata, meskipun terapi ini tidak begitu meluas di Malaysia, ia platform yang sangat baik bagi kanak-kanak menunjukkan prestasi mereka dengan memberi tumpuan kepada apa yang boleh dilakukan dan bukannya cuba untuk membetulkan apa tidak boleh dilakukan.

Dibantu suaminya yang juga pakar kanak-kanak, Dr Ali Azman, segmen khas itu diharap akan mewujudkan peluang kanak-kanak berkeperluan khas untuk bersaing dan mempamerkan kemahiran hasil daripada terapi itu.

“Kami berharap aktiviti seumpama ini membawa kesedaran mengenai terapi ini dan ibu bapa mengetahui terdapat alternatif lain selain pusat terapi dalam bangunan.

“Acara ini juga akan bertindak sebagai platform tempatan untuk anak istimewa kerana mereka berpotensi untuk mengembangkan bakat dan mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa.

“Buat masa ini, di negara kita ini satu-satunya pusat terapi ini yang menawarkan peluang di dunia ekuestrian seperti ini. Kami juga beri tumpuan kepada mengubah pesakit menjadi atlet,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 5:30 AM