PENYANYI kelahiran Indonesia, Afgansyah Reza. FOTO Saifullizan Tamadi
PENYANYI kelahiran Indonesia, Afgansyah Reza. FOTO Saifullizan Tamadi
Najiy Jefri


MENJADI anak seni bernama Afgan ini banyak likunya. Orang menyangka kemeriahan hidup yang dikecapi jejaka dari Indonesia ini persis kelunakan atau kemerduan suaranya.

Hakikatnya, Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza mendepani pelbagai cabaran dengan kematangan yang banyak memberinya pengalaman tidak ternilai.

Mungkin itu resipi kejayaan jejaka berusia 29 tahun ini hingga meletakkan dirinya di puncak kejayaan dengan lebih 50 anugerah kemenangan.

Afgan berkata, sempena ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri muzik, dia melihat perjalanan yang dilalui ini bukan sekadar kejayaan lagu popular dan karya yang pernah dipersembahkan, sebaliknya proses yang dilalui.

“Kejayaan paling besar selama 10 tahun ini adalah proses menghasilkan lagu terbaik dan kepayahan yang perlu saya tempuh untuk berada di tahap ini hingga membuatkan saya lebih dewasa.

“Rasanya saya tidak akan menjadi siapa saya hari ini tanpa perjalanan suka duka selama 10 tahun ini. Ia satu momen indah dalam hidup saya,” katanya.

Siapa sangka, di sebalik kejayaan dan ketaasuban peminat terhadap setiap lagu yang dibawakan, Afgan sebenarnya melalui kepayahan untuk menempa nama dalam industri muzik.

“Mungkin ramai tidak tahu ketika awal pembabitan saya dalam muzik, ramai yang tidak yakin dengan kemampuan saya.

“Hanya selepas lima tahun, saya mula belajar untuk menjadi lebih berani ke depan dan memajukan diri,” katanya.

“Sebenarnya sehingga hari ini saya masih ada rasa tidak yakin dengan diri dan takut untuk membuat persembahan, tapi saya selalu lawan kerana saya perlu lakukan yang terbaik buat peminat yang masih utuh di belakang saya.

“Setiap kerja keras yang dilalui membuatkan saya belajar banyak perkara, sekali gus mendewasakan diri ini. Saya bangga melihat diri saya sekarang,” katanya.

Konsert Dekade tampil kelainan

Siapa sangka, sempena ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri muzik, Afgan yang terkenal menerusi lagu Jodoh Pasti Bertemu bakal mengubati kerinduan peminat di Malaysia menerusi Konsert Dekade Live In Kuala Lumpur 2018 pada 3 November ini di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Afgan berkata, menerusi konsert ini dia bakal menjanjikan kelainan di mana dia akan memberi sentuhan peribadi supaya dapat mendekatkan lagi dirinya dengan peminat di Malaysia.

“Sepuluh tahun bukan sekadar lagu dan pencapaian saya, malah ia membabitkan perjalanan sebagai insan biasa.

“Konsert ini juga begitu peribadi untuk saya kerana ia menjadi tanda penghargaan kepada semua peminat yang setia menyokong selama ini,” katanya.

Menurut Afgan, dia bakal menyiarkan video khas pada konsert terbabit bagi menyatakan perasaan dan cintanya sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

“Pada hari konsert nanti saya juga akan menayangkan beberapa video peribadi yang menceritakan kehidupan saya selama 10 tahun itu.

“Peminat tidak akan hanya mengenali saya sebagai artis, tapi sebagai manusia biasa juga. Sengaja saya mahu pamerkan sisi berbeza saya yang tidak pernah dikongsi dengan peminat selama ini,” katanya.

Ditanya kenapa konsert ulang tahun ini diadakan di Malaysia terlebih dulu berbanding Indonesia, Afgan punya alasan kukuh bagi pertanyaan itu.

“Saya tidak mahu momen 10 tahun ini berlalu begitu saja. Sebab saya tidak mengadakan konsert di Jakarta terlebih dulu kerana terdapat banyak halangan seperti Sukan Asia yang berlangsung, baru-baru ini.

“Lagipun mungkin sudah tertulis rezeki saya di sini. Saya tiada masalah untuk mengadakan konsert di Malaysia terlebih dulu kerana Kuala Lumpur sudah dianggap seperti rumah kedua.

“Malah, saya juga berasa Malaysia adalah lokasi terbaik untuk melakukan persembahan sebab ‘energy’ peminat di sini sukar ditandingi.

“Saya bersama rakan band lain tidak pernah lupa setiap kenangan yang dilakar ketika mengadakan konsert di Malaysia. Memang seronok dan meninggalkan impak,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kehidupan peribadinya, Afgan mengakui dia belum bertemu suri hidupnya.

Jika sebelum ini dia meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 27 tahun, namun impian itu terpaksa dilupakan.

“Selepas impian untuk berkahwin pada usia 27 tahun tidak kesampaian, saya tidak mahu merancang lagi. Namun, saya selalu berdoa supaya jodoh saya tiba cepat. Saya memang nak mendirikan rumah tangga, cuma calon saja tiada,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 6:00 AM