AFGAN ketika sidang media Afgan Evolution Kuala Lumpur di Kuala Lumpur Convention Centre. FOTO Owee Ah Chun
AFGAN ketika sidang media Afgan Evolution Kuala Lumpur di Kuala Lumpur Convention Centre. FOTO Owee Ah Chun
Zaara Talita


Kuala Lumpur:  Penyanyi popular Indonesia, Afgan, 33, mendedahkan mengalami masalah kemurungan yang membuatkan dia berjumpa pakar psikiatri sejak dua tahun lalu.

Afgan atau nama sebenarnya, Afgansyah Reza berkata, kemurungan itu berpunca akibat fasa berkurung ketika penularan Covid-19 lalu yang memutuskan hubungannya dengan dunia luar serta membantutkan perjalanan kerjayanya.

"Ketika Covid-19 menyerang dunia, semua aktiviti terhenti tetapi saya memandang dari sudut berbeza hingga mengalami insomnia, selalu rasa berdebar-debar dan membuatkan saya mengalami kekangan untuk berkarya.

"Perubahan ini membuatkan rakan-rakan terdekat menasihatkan saya untuk mendapatkan bantuan pakar. Saya meneruskan sesi kaunseling sehingga sekarang," katanya. 

Afgan berkata, selepas menerima rawatan, dia bersyukur ada perubahan ketara yang mencetuskan keberanian untuk dia keluar dari zon selesa. 

Itu juga mencetuskan idea buatnya menghasilkan lagu berjudul Healing yang menggambarkan situasi pulih dari trauma.

Afgan berkata, tiada sebab untuk dia menyembunyikannya atau malu untuk berkongsi mengenai masalah kesihatan mental yang dialami.

"Perkara ini dilalui oleh semua orang sepanjang tempoh pandemik. Saya rasa bertanggungjawab berkongsi sesuatu yang membawa manfaat kepada orang lain yang mungkin berhadapan dengan situasi sama.

"Selain berjumpa kaunselor,saya turut melakukan meditasi dan melakukan rutin senanam untuk kekal cergas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Afgan bakal menjayakan konsert Afgan Evolution di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur jam 8.30 malam esok.

Afgan bakal menyanyikan 24 buah lagu termasuk daripada album mini terbaharu, +62.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 8:35 PM